Kebakaran hutan melampau global lebih kerap – PBB

- Advertisement -

NAIROBI: Jumlah kebakaran hutan di seluruh dunia dijangka bakal meningkat lebih kerap sebanyak 14 peratus menjelang tahun 2030 dan 50 peratus menjelang akhir abad ini.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui agensi Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) dalam kenyataannya pada Rabu (23 Feb) berkata, laporan  berkenaan disediakan dengan kerjasama GRID-Arendal menjelang Perhimpunan Alam Sekitar PBB (UNEA) pada akhir bulan ini.

- Advertisement -

Sehubungan itu, UNED menyeru masyarakat antarabangsa agar memberi tumpuan kepada langkah pencegahan kebakaran hutan dan bukan hanya bertindak balas selepas ia berlaku.

Laporan itu mendapati terdapat risiko yang tinggi di Artik dan kawasan lain dunia yang sebelum ini tidak terjejas oleh kebakaran hutan.

Pasukan saintis UNEP mentakrifkan kebakaran hutan melampau itu sebagai kebakaran liar di luar kawalan yang berlaku kira-kira sekali dalam seratus tahun.

“Peningkatan suhu dan perubahan cara menggunakan tanah akan mendorong kepada perkara itu,” ujar kenyataan tersebut.

Kajian baharu itu juga menyebut akan keperluan pengagihan semula sumber kewangan daripada memadam kebakaran kepada pencegahannya.

“Kebakaran hutan melampau yang berlangsung selama berminggu-minggu sudah menjadi lebih panas dan membakar lebih lama di banyak bahagian planet bumi di mana kebakaran hutan selalu berlaku seperti di Australia dan Amerika Syarikat.

“Namun, ia kini mula menunjukkan potensi akan berlaku di kawasan utara bumi yang terpencil seperti Artik, di kawasan tanah gambut yang kering dan zon permafros bumi yang merangkumi sebarang tanah bercirikan batuan yang membeku di bawah titik beku air 0 °C (32 °F), kebanyakannya terletak di sekitar kawasan kutub utara dan kutub selatan, selain di kawasan tinggi seperti di pergunungan Alps,” jelas kenyataan itu lagi. – Agensi