Banjir di Australia: Seorang maut, 10 dikhuatiri hilang

- Advertisement -

BRISBANE: Seorang ditemui mati di dalam kereta yang ditenggelami air dan 10 individu lain dilaporkan hilang pada Rabu (23 Feb), selepas hujan lebat menyebabkan banjir kilat di timur Australia, serta mencetuskan rangkaian amaran kecemasan di sekitar pantai Pasifik negara itu.

Perdana Menteri Australia, Annastacia Palaszczuk berkata, mayat seorang wanita berusia 63 tahun yang lemas itu ditemui pada awal pagi Rabu di negeri Queensland.

- Advertisement -

Kereta wanita malang itu dihanyutkan dalam banjir di Taman Belli di kawasan pedalaman Sunshine Coast ketika polis mengesahkan sekurang-kurangnya 10 orang lain dilaporkan hilang di seluruh wilayah itu.

Individu yang tidak dapat dikesan itu termasuklah seorang lelaki berusia 54 tahun yang motosikalnya ditemui di Cedar Pocket berhampiran Gympie pada pagi Rabu.

Hujan lebat hampir setengah meter melanda di beberapa bahagian di negeri ini dalam tempoh 24 jam yang lalu, menyebabkan beberapa jalan ditutup dan pergerakan lalu lintas terganggu. 

Perkhidmatan bantuan kecemasan Australia telah menerima lebih daripada seratus panggilan kecemasan untuk mendapatkan bantuan dan kru penyelamat telah dihantar bagi menyelamatkan berpuluh-puluh penduduk yang terkandas.

Sebuah kereta api barang terbalik berhampiran bandar Gympie, walaupun pemandunya dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Lima belas empangan Queensland pula berada pada kapasiti dan lebih banyak hujan dijangka melanda dalam beberapa hari akan datang.

“Hujan lebat yang lebih ketara dijangka berlaku di tenggara Queensland,” ujar Palaszczuk.

Menurutnya, memandangkan banyak kawasan tadahan kini tepu, risiko banjir kilat yang berbahaya dan mengancam nyawa penduduk akan meningkat dalam beberapa hari yang mendatang ini.

Pejalan kaki berjalan dalam hujan lebat di daerah pusat perniagaan Sydney, Australia pada 22 Februari 2022. (FOTO AFP)

Sementara itu, media tempatan yang memetik kenyataan Superintendan Daerah Polis Sunshine Coast, Craig Hawkins yang mengesahkan tentang 10 individu yang hilang dalam kejadian banjir tersebut.

Pihak polis memberi amaran kepada pemandu kenderaan supaya mengelak memandu melalui jalan raya yang dinaiki air.

“Banjir kilat berlaku di beberapa jalan raya dan jambatan. Penduduk dinasihatkan agar tidak melakukan perjalanan bagi mengelakkan kejadian buruk,” ujar kenyataan polis.

Selepas beberapa tahun dilanda kemarau dan kebakaran belukar yang memburukkan keadaan iklimnya, bahagian timur Australia kini mengalami musim panas antipodean yang sangat basah, susulan corak cuaca La Nina.

Menurut Biro Meteorologi Australia, La Nina meningkatkan peluang siklon tropika di luar pantai Pasifik Australia  yang akan  membawa kepada hujan turun melebihi purata. – AFP

- Advertisement -