Perbincangan isu Afghanistan selaras pendirian Malaysia

- Advertisement -

LAJNAH Hal Ehwal Antarabangsa (LHEA) Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyelar kenyataan YB Dato’ Seri Salahuddin Ayub yang sengaja mempolemikkan lawatan kerja dan perjumpaan rasmi Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, YB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini. 

Kenyataan beliau sangat naif kerana sesi dialog bersama Ketua Tetap Misi Emiriah Islam Afghanistan Ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Sheikh Mohammed Suhail Shaheen adalah selaras dengan kerjasama di antara Malaysia dan Qatar dalam perihal kemanusiaan di Afghanistan sebagaimana juga pertemuan antara Penolong Menteri Luar Qatar, Lolwah Mohammed Rashid al Khater dan Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato’ Kamarudin Jaffar pada 21 Januari 2022 lalu.

- Advertisement -

Isu kemanusiaan di Afghanistan adalah isu global yang wajar diberikan perhatian khusus sekalipun terdapat perbahasan terhadap isu pergolakan dalaman politik negara tersebut. Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang terlibat membincangkan isu kemanusiaan di Afghanistan pada hari ini malah seluruh dunia turut memberikan perhatian serius menerusi dialog dan pertemuan yang dilaksanakan oleh PBB, OIC, EU, AS mahupun China.

Perbincangan bagi penyelesaian isu kemanusiaan ini bertepatan dengan Hadis yang diriwayatkan oleh an-Nu’man bin Basyir yang berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى (رواه مسلم)

“Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi di antara mereka adalah ibarat satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga dan turut merasakan sakitnya.”

(Hadis Riwayat Muslim No 4685)

Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang berdaulat perlu berusaha memainkan peranan utama sebagai orang tengah dalam misi perdamaian antara negara-negara Islam termasuklah memberikan pandangan dan pengalaman Malaysia dalam misi membangunkan semula negara Afghanistan. 

Hubungan dialog ini merupakan satu medan yang cukup penting kepada Kerajaan Taliban di Afghanistan untuk mengambil semangat dan roh wasatiyyah dalam pembinaan hubungan Antarabangsa dan polisi dalam negara sebagaimana yang telah diamalkan di Malaysia.

Taliban juga merupakan sebahagian rakyat Afghanistan dan sebagai rakyat asal mereka berhak untuk menentukan halatuju pembinaan negara mereka berdasarkan prinsip ‘self-determination’. Adakah salah rakyat watan sesebuah negara menentukan halatuju negara mereka dan membebaskan negara mereka dari penjajahan kuasa asing? 

Cukup-cukuplah YB Salahuddin Ayub yang hanya menuruti momokan ‘Taliban’ versi DAP. Beliau tidak perlu melatah apabila mendengar dengan perkataan ‘Taliban’ kerana Taliban versi DAP tidak sama dengan isu Taliban di Afghanistan pada hari ini. Sedarlah Taliban yang ada sekarang bukanlah sepertimana Taliban yang dahulu. Menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam bertanggungjawab membantu saudara kita dalam kesusahan bukan sibuk membawa naratif musuh semata-mata kerana kepentingan politik yang sempit.

USTAZ M ABDUL MALIK ABD KARIM
Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Kelantan
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa DPPM – HARAKAHDAILY 15/2/2022

- Advertisement -