Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
MARANG: PAS tetap komited bahawa agenda penyatuan ummah adalah bagi memperkasakan negara dan ummah meskipun dalam masyarakat majmuk di negara ini.
Presidennya, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS mengambil pendekatan Islam bagi memimpin seluruh manusia yang membawa rahmat dan keadilan untuk semua.
Justeru, kata beliau, Islam mesti memimpin kerana dengan Islam itu adanya akidah, akhlak, moral serta wawasan akhirat.
“Memang kalau kita lihat, kalau buah itu buah yang baik, buah yang lazat, musuh buah itu banyak yang datang nak merosakkan buah, pokok dia, mesti kita jaga dan kawal betul-betul.
“Ini kerana agenda penyatuan ummah ini, agenda yang memperkasakan negara kita dan ummah kita walaupun suasana masyarakat majmuk.
“Kita mengambil pendekatan Islam iaitu Islam memimpin seluruh manusia. Rahmat untuk seluruh manusia. Adil untuk semua. Tetapi mesti Islam yang memimpin kerana Islam ini ada akidah, akhlak, moral, wawasan akhirat bukan wawasan dunia sahaja.
“Ini kekuatan yang tidak ada pada yang lain,” ujarnya ketika wawancara eksklusif bersama Harakah di Pejabat Masjid Rusila, kelmarin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, kepimpinan Islam di negara ini mesti didominasikan oleh orang Melayu dan bumiputera dengan tidak meminggirkan masyarakat majmuk.
“Sebab itu, kita menegaskan kepimpinan Islam kalau di Malaysia ini, orang Islam ialah orang Melayu, bumiputera yang banyak (ramai) Islam. Mereka perlu mendominasi pemerintahan negara dan ini sangat penting.
“Dalam masa yang sama, kita tidak boleh meminggirkan masyarakat majmuk, beberapa kaum yang ada di sini walaupun, mereka dibawa oleh penjajah British.
“Tetapi Islam mengajar kita mereka adalah manusia. Manusia adalah hubungan silaturahim daripada anak (Nabi) Adam semua. Dengan sebab itu, kita perlu bertindak membawa mesej kita kepada seluruh manusia. Ini sangat penting. Sebab itu, agenda kita ialah menyatukan orang Melayu Islam,” tegasnya.
Justeru, kata beliau bahawa tonggak kekuatan parti Melayu Islam di negara ini terdiri daripada parti Bersatu, Umno dan PAS.
“Ini tonggak yang kuat, yang berpegang kepada Perlembagaan Negara. Walaupun Perlembagaan itu ada kelemahan-kelemahannya tetapi generasi awal yang terlibat dalam perundingan kemerdekaan, telah berjaya meletakkan Islam (sebagai) agama negara.
“Walaupun tafsiran itu pelbagai-bagai tapi ini kita pertahankan. Tapi mesti Islam memimpin.
“Cumanya, kesilapan yang lalu ialah kerana salah laku disebabkan politik wang, rasuah menyebabkan kerajaan itu jatuh dan rakyat pilih secara spontan dan bukan pilih secara matang,” jelasnya.
Menurutnya, pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Pakatan Harapan (PH) yang memerintah negara dengan janji-janji yang mustahil dan tidak boleh dilaksanakan. – HARAKAHDAILY 15/2/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!