Polis Marin tumpu lokasi penyeludupan di Sungai Golok

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

TUMPAT:
Kacang biji gajus dan kain batik antara barangan dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dengan nilai rampasan keseluruhan RM172,357.50.

Tangkapan itu dibuat melalui 24 kes direkod dalam operasi khas musim perayaan sempena Tahun Baru Cina.

- Advertisement -

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, nilai rampasan paling tinggi membabitkan kesalahan mengikut Akta Kastam 1967 iaitu sebanyak lima kes dengan nilai RM154,650.

Katanya, menerusi operasi selama 20 hari bermula 25 Januari hingga Ahad lalu, tumpuan diberi terhadap beberapa kawasan panas yang sering menjadi tumpuan penyeludup khususnya di sepanjang Sungai Golok.

“Ia membabitkan pelbagai barangan antaranya kacang biji gajus, kain batik, minuman keras, makanan ringan, beras dan ayam sejuk beku.

“Kedua tertinggi membabitkan kesalahan mengikut Akta Racun 1952 dengan nilai RM7,200, disusuli sembilan kes mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras Negara 1994 dengan nilai rampasan RM5,850,” katanya pada kenyataan semalam.

Menurutnya, kegiatan penyeludupan tersebut ada kaitan dengan perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Beliau juga berkata, dalam operasi itu dua kenderaan dirampas dan dua warga India ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tinggal lebih tempoh yang dibenarkan.

Oleh itu katanya PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan mengekang aktiviti penyeludupan barang kawalan. – HARAKAHDAILY 15/2/2022

- Advertisement -