Pentingnya akidah di dalam kehidupan

- Advertisement -

PERSOALAN yang selalu bermain di minda semasa melihat betapa bersemangatnya sebahagian umat Islam belajar atau mengisi ruang-ruang kosong di majlis-majlis ilmu ialah, apakah mereka memahami kepentingan ilmu di dalam kehidupan?

Setiap pencinta ilmu terlebih dahulu mesti membetulkan niat mereka untuk belajar, sebab semua yang bukan diniatkan kerana Allah S.W.T akan hilang dan sia-sia. Jadi niatkan kehadiran kita ke majlis ilmu sama ada secara semuka atau maya, hanyalah kerana Allah S.W.T. Kita mesti ikhlas mengharapkan keredhaan-Nya, mudah-mudahan Allah S.W.T akan menganugerahkan ilmu yang bermanfaat dan hati yang khusyuk:

- Advertisement -

“Dari Abu Hurairah, Allah S.W.T berfirman, “Aku tidak memerlukan sekutu-sekutu dari kalian, barang siapa yang melakukan suatu amalan yang dia menyekutukan-Ku padanya selain Aku, maka Aku tinggalkan dia dengan sekutu yang dia menyekutukan Aku dengannya.””

(Riwayat Muslim kitab az-Zuhud 2985,46)

Ke mana hidup ini akan dibawa? Bagaimana untuk menjalani kehidupan ini? Persoalan-persoalan yang mesti difahami oleh semua umat Islam. Semua umat Islam berharap hidup di negeri damai, negeri penuh keadilan, ketenteraman, kemakmuran, segala keindahan dan negeri yang menjadi baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur(Mengikut Sayyid Quthub dalam tafsir Fi Zilal Al-Quran menyebut bahawa kalimah ini merupakan negeri yang mendapatkan kemakmuran di bumi dan di akhirat). 

Di dalam Al-Quran terdapat sebuah kisah mengenai sebuah negeri yang bernama Saba’. Sebuah negeri di Syam yang disebut khusus oleh Allah S.W.T akan kalimah baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur.

Maksudnya:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk Negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!”

(Saba’: 15)

Namun, kejayaan dan kemakmuran Negeri Saba’ harus berakhir, saat kaumnya berpaling dan meninggalkan ketaatan kepada Allah S.W.T. Allah S.W.T, lalu menurunkan azab dan menghilangkan kebahagiaan dan kenikmatan-kenikmatan yang sebelumnya mereka terima. Kisah mereka, Allah S.W.T jadikan bahan cerita untuk teladan manusia akhir zaman.

Kita melihat akhir-akhir ini semakin banyak kes-kes jenayah akibat kesan buruk dari dadah, perzinaan, seks bebas dan lahirnya anak-anak tidak sah taraf dalam kalangan remaja di Malaysia dan juga budaya Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). Penjara-penjara, dipenuhi oleh penjenayah yang semakin banyak dari kes penipuan, kecurian, penculikan, kes bunuh, kes ragut, kes pecah amanah, kes rasuah, penyalahan guna kuasa dan macam-macam lagi. Manusia semakin tidak jelas hendak ke mana dibawa kehidupan ini.

Setiap manusia menginginkan untuk dapat hidup bahagia, tenang dan damai. Kehidupan di bumi ini akan bahagia dan apa yang diingini akan tercapai tatkala akidah menjadi dasar yang membangun kehidupan itu. Tanpa akidah yang kukuh, kehidupan ini cuma bagaikan pohon besar, di mana indah kelihatannya, tetapi tatkala ada badai melanda, pohon itu akan tumbang. Jadi di sinilah peranan akidah di dalam kehidupan.

Nabi Nuh A.S, telah diutus menjadi Nabi selama 950 tahun. Allah S.W.T mengutuskan semua Nabi dan Rasul termasuk Nabi Nuh A.S untuk menegakkan kalimah tauhid dan mendakwahkannya, seperti firman Allah S.W.T di bawah yang bermaksud:

”Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku, oleh itu, beribadatlah kamu kepada-Ku.”

(Al-Anbiya: 25)

Manusia itu dimuliakan oleh Allah S.W.T dengan diberikan akal fikiran yang mampu berfikir untuk membezakan antara yang hak dan yang batil dan antara sesat dengan hidayah. Lihatlah perkara yang berlaku kepada Nabi Ibrahim. Ketika mendapati berbagai patung berhala dijadikan sebagai sembahan, maka Nabi Ibrahim bertekad menghancurkan berhala tersebut sebagai bentuk pembuktian bahawa patung batu benda mati yang tidak dapat bertindak apapun:

“Dan tatkala Nabi Ibrahim ditanya mengenai perbuatan menghancurkan berhala-berhala itu, Nabi Ibrahim menjawab, “Aku fikir, berhala besar itulah yang menghancurkannya, tanyalah dia, bukankah kapak masih berada di lehernya?” Mereka sebenarnya mengakui, mana mungkin berhala itu boleh berkata-kata dan dapat berbuat begitu. Lalu Nabi Ibrahim berkata, “Kalau begitu, kenapa kalian menyembah berhala yang tidak dapat berbuat apa-apa?.””

Manusia merupakan makhluk paling mulia di antara makhluk lainnya, bahkan dari malaikat sekalipun. Sebaliknya manusia akan jadi lebih rendah dari binatang jika memiliki hati, mata, telinga dan mulut tetapi tidak digunakan untuk melihat dan mengenali Allah S.W.T, Al-Quran dan Hadis serta mengamalkannya dalam kehidupan, seperti firman Allah S.W.T di bawah yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang-orang yang lalai.”

(Al-A’raf : 179)

Kenapa beratnya, untuk melafazkan dan beriman dengan kalimah lailahaillallah? Contohnya, menjelangnya wafatnya Abu Thalib, Rasulullah S.A.W datang menemuinya. Saat itu beliau melihat telah ada hadir sama Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah bin Al-Mughirah di rumah Abu Talib. Baginda bersabda, yang bermaksud: “Wahai bapa saudaraku, ucapkanlah lailahaillallah, dengan kalimat ini, akan aku bela engkau nanti di sisi Allah S.W.T.”

Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah terus mengatakan kepada Abu Talib, “Apakah engkau membenci agamanya Abdul Mutalib?”

Mereka tahu akibat di sebalik dari melafazkan kalimah ini, semua budaya, semua tradisi yang yang bertentangan dengan Laaila haillallah harus dibuang dan dicampakkan. Ianya bukan sekadar melafaz sahaja, tetapi mesti ada sebuah keyakinan yang kukuh di dalam hati. 

Hal ini pernah terkisah ketika pertemuan Jaafar bin Abi Talib ketika ditanya oleh Raja Najasi di Habasyah mengenai ajaran Nabi Muhammad S.A.W. Jaafar menerangkan, “Nabi Muhammad S.A.W memerintahkan kami beribadah kepada Allah S.W.T dan melepaskan seluruh peribadatan kepada selain daripada Allah S.W.T.” Inilah kehendak dari kalimah ini.

Rasulullah terus memujuk bapa saudaranya, namun kedua orang itu terus menghasut Abu Talib agar tidak melafazkan kalimah suci itu dan Abu Talib enggan melafazkannya. Rasulullah S.A.W mengatakan yang bermaksud, “Demi Allah, akan kumohonkan ampun untukmu selama aku tidak dilarang.” Lalu Allah menurunkan firmannya yang bermaksud:

“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.”

(At-Taubah: 113)

Untuk Nabi S.A.W, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau cintai (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).”

(Al-Qasas: 56) (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam kitab tafsir Al-Quran dalam Fath al-Bari)

Misi Nabi S.A.W selama 13 tahun di Makkah adalah menanamkan akidah yang kukuh. Akidah ini diumpamakan sebagai sebuah pohon:

“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.”

“Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).”

(Ibrahim: 24 – 25)

Apabila akidah sudah kukuh di dada, maka semuanya jadi mudah dan indah

Dari asas tarbiyah inilah, berbekalkan akidah yang kukuh, Rasulullah S.A.W memerintahkan Sahabat-sahabat R.A berhijrah ke Madinah. Di sana, terbinanya sebuah negara Islam, di mana ayat-ayat mengenai hukum-hukum telah diturunkan. Sahabat-sahabat Nabi S.A.W mengamalkan seluruhnya perintah-perintah Allah S.W.T dan mereka mampu menjaga negara Islam Madinah, kerana akidah mereka sudah kuat.

Apabila iman sudah kukuh, segala perintah Allah S.W.T, pasti akan dilaksanakan dan diterima dengan mudah. Contohnya seorang guru, mereka akan pergi ke mana sahaja mereka ditempatkan atau dihantar bertugas. Bahkan ada ditempatkan nun jauh di pedalaman, namun mereka tetap patuh dan pergi. Kenapa ini terjadi? Sebab mereka telah dididik dengan kalimah ‘kami dengar dan kami taat’. Begitu jugalah yang akan berlaku kepada orang-orang beriman yang telah terdidik hati mereka dengan kalimah ini di hadapan Allah S.W.T.

Lihatlah pada ayat al-Quran dalam ayat terakhir surah al-Baqarah mengenai iman. Ayat ini menerangkan berkenaan sifat-sifat orang yang beriman:

“Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, Malaikat-malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata), “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya.” Mereka berkata lagi, “Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami, dan kepada-Mu jualah tempat kembali”.”

(Al-Baqarah: 285)

Ketika memiliki akidah yang kuat, keimanan kukuh, pasti akan mendapat keamanan dan kebahagiaan

Jadi kalau inginkan kehidupan yang aman, imannya kena diperbaiki. Allah S.W.T telah menetapkan bahawa keimanan akan mewariskan keamanan. Dan ingatlah bahawa keamanan dan kebahagiaan tidak dapat dicapai kecuali dengan keimanan:

“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

(Al-An’am: 82)

Seandainya, akidah kita kukuh dan kuat, hidup akan penuh dengan keamanan dan kebahagiaan. Ketika musibah dan kesusahan menimpa, mereka sentiasa merasa hidup bersama Allah S.W.T:

“Wahai umat manusia, kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Tidak ada sama sekali yang menciptakan sesuatu selain daripada Allah. Dia memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi. Tiada Tuhan melainkan Dia. Maka mengapa kamu rela dipalingkan (dari menyembahnya)?”

(Fatir: 3)

Fahamilah makna ayat ini. Seandainya masih ada yang bingung memikirkan di mana ingin mendapatkan pekerjaan dan sebagainya sebagai rezeki dalam kehidupan. Jangan pernah lupa, di saat seseorang memiliki akidah yang kuat, dia akan benar-benar yakin dengan pertolongan Allah S.W.T. Dia tidak akan memikirkan untuk memohon sesuatu kepada selain dari Allah S.W.T.

Hakikatnya, segala apa yang kita perolehi di dunia ini datangnya daripada Allah S.W.T. Dalam Hadis Qudsi, Allah berfirman yang bermaksud:

 “Wahai hamba-Ku, kalian semua kelaparan, kecuali orang yang Aku berikan makan. Maka mintalah makan kepada-Ku, nescaya Aku akan berikan. Wahai hamba-Ku, kalian semua tidak berpakaian, kecuali yang Aku berikan pakaian. Maka mintalah pakaian kepada-Ku, nescaya Aku akan berikan.”

(Sahih Muslim 2577)

Jangan sesekali menggunakan sihir atau ilmu hitam untuk melariskan perniagaan kita dan untuk menundukkan hati manusia tertarik kepada perniagaan kita serta kepada kita sendiri. Fahamilah ayat di atas dan mintalah hanya kepada Allah S.W.T. Kita sudah buat perjanjian dengan Allah S.W.T. Ketika kita memenuhi perjanjian ini, maka Allah akan memenuhi perjanjian-Nya dengan kita, seperti dalam ayat di bawah. Di setiap solat kita mengatakan yang bermaksud:, 

“Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”

(Al-Fatihah: 5)

Ketika kita membaca ayat ini, Allah S.W.T menjawab dengan menyatakan, ini adalah perjanjian antara Aku dan hamba-Ku dan bagi hamba-Ku setiap yang dia pinta.

Setiap Muslim, kena yakin bahawa setiap doa yang dipohon, Allah S.W.T akan kabulkan mengikut yang kita perlukan. Jadi segala sahaja permasalahan, mintalah kepada Allah S.W.T untuk mendapatkan jalan penyelesaiannya:

“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

(Ghafir: 60)

Kalau direnung-renungkan makna ayat ini, kita akan rasa malu, malu kerana kita tidak sungguh-sungguh berdoa. Cuba muhasabah, berapa minit ruang waktu yang kita luangkan masa untuk berdoa, sedangkan Allah telah berjanji, akan mengabulkan permintaan hamba-Nya, jadi mintalah kepada Allah, walaupun hanya hal-hal yang remeh.

Akidah kuat jauhkan manusia dari perbuatan jahat

Contoh perbuatan jahat, seperti penipuan, pembunuhan, perzinaan, candu dadah, rasuah dan lain-lain lagi. Jadi akidah mesti dibina dan biar sampai meresap ke dalam hati.

Kenapa masih berlaku maksiat dan dosa dalam masyarakat? 

Di antara alasannya, mereka dididik untuk mencari kehidupan dunia bukan dididik membina akidah yang kukuh dan mencari kehidupan akhirat:

“Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda, maksudnya, “Tidaklah seorang penzina itu berzina sedangkan dia dalam keadaan dia beriman. Tidaklah seorang pencuri itu mencuri sedangkan dia dalam keadaan dia beriman dan tidaklah seorang peminum arak itu meminum arak dalam keadaan dia beriman.””

(Riwayat Al-Bukhari 5578 dan Muslim 100)

“Dari Sahabat Buraidah R.A, “Suatu ketika seorang perempuan dari kabilah al-Ghamidiyah mendatangi Rasulullah S.A.W, dan ia berkata, “Wahai Rasulullah, aku telah berzina, bersihkanlah aku dari dosaku!” Kemudian Rasulullah S.A.W memintanya untuk pulang. Keesokan harinya perempuan itu datang kembali, dan berkata, “Wahai Rasulullah S.A.W mungkin kamu akan menolak (untuk menghadku) sebagaimana engkau menolak pengakuan Maiz bin Malik, demi Allah aku telah hamil (dari hasil berzina), Rasulullah S.A.W mengatakan, “Aku akan tetap menjawab tidak, pergilah kamu sampai kamu melahirkan.” Maka ketika perempuan itu telah melahirkan, ia datang kembali bersama bayi yang ia gendong dengan kain, dan ia berkata, “Ini bayinya, aku telah melahirkannya (wahai Rasul).” Rasulullah S.A.W pun menjawab, “Pergilah, dan susui dia sampai anak benar-benar berhenti menyusu,” maka setelah anaknya berhenti menyusu, ia kembali kepada Rasulullah S.A.W dengan membawa anaknya yang sedang memegang roti di tangannya, dan ia pun berkata “Wahai Rasulullah, anakku sudah berhenti menyusu, dan ia telah boleh makan.” Akhirnya Rasulullah S.A.W menyerahkan anak bayinya kepada salah seorang Sahabat, kemudian meminta yang lain untuk membawanya ke tempat pelaksanaan hukum rejam, akhirnya yang hadir di tempat itupun merejamnya, hingga datanglah Sahabat Khalid bin Walid merejam dia sehingga memancutlah darah mengenai muka Khalid. Kemudian Khalid pun mencela perempuan itu, (tanpa sengaja) Rasulullah S.A.W mendengar celaan Khalid terhadap perempuan tersebut, lalu Rasulullah menegur Khalid dengan keras “Jaga ucapanmu wahai Khalid, demi Allah, ia telah benar-benar bertaubat dengan taubat yang jika seorang yang banyak mengambil hak-hak kaum Muslimin (dengan jalan yang tidak halal) bertaubat seperti taubatnya nescaya dosanya diampuni oleh Allah S.W.T.” Kemudian setelah perempuan itu wafat, Rasulullah S.A.W meminta para Sahabat untuk mensolatinya dan menguburkannya.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Kekuatan akidah menjadikan perempuan ini berani mengakui kesalahannya. Inilah hasil didikan Rasulullah S.A.W. 

Dengan memiliki akidah kuat, akan bersedia lakukan segala pengorbanan

Lihat sahaja yang telah dilakukan oleh Bilal bin Rabah. Dia diseksa oleh majikannya, Umaiyyah bin Khalaf dan dia tetap sabar diseksa. Dia diseksa kerana dia beriman dengan kalimah, lailahaillallah. Kisah penderitaan Khabab bin Al-Arad, dia telah disalai di atas timbunan bara api yang menyala, sampai lemak dan darah mengalir dari punggungnya telah memadamkan api tersebut dan dia terus bertahan. Inilah hebatnya akidah Khabab.

Begitu juga Masitah tukang sikat anak-anak Firaun. Ketika dia sedang menyikat rambut anak Firaun, terjatuh sikat lalu dia menyebutkan bismillah, lalu anak Firaun menyatakan adakah Allah itu ayahku? Dijawab oleh Masitah, “Allah itu Tuhanku dan Tuhan ayahmu,” lalu dia ditampar dan melaporkannya kepada Firaun. 

Dia dihadapkan di hadapan Firaun dan Firaun bertanya, “Apakah engkau memiliki Tuhan selain aku?” lalu dijawab oleh Masitah bahawa Tuhanku dan kamu adalah Allah S.W.T. Kalau engkau tidak keluar dari keyakinan mu, aku akan membunuh mu dan anak-anakmu. “Silakan,” jawab Masitah. Tetapi aku ada syarat, setelah aku mati dimasak, maka tulang-tulang aku dan tulang anak-anakku dikuburkan.” Hebat Masitah, melihat satu-satu anaknya dimasukkan ke dalam periuk besar yang panas. Kenapa dia kuat? Kerana imannya kuat. Bila imannya kuat, sesiapa pun akan mampu menghadapi segala-galanya.

Seorang yang semakin kuat akidah, dia akan menghargai orang lain

Seorang yang beriman akan menjaga hubungannya dengan manusia, walaupun bukan-Muslim kerana kita duduk di dalam masyarakat majmuk. Di awal hijrah Rasulullah S.A.W di Madinah, beliau berjiran dengan orang Musyrikin dan dengan orang Yahudi. Maksud firman Allah S.W.T:

“Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir Musyrik yang berdekatan dengan kamu dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati) yang ada pada kamu dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa (dengan memberikan pertolongan-Nya).”

(At-Taubah: 123)

“Nabi Muhammad ialah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam).”

(Al-Fath: 29)

Kedua-dua ayat di atas bukanlah ditujukan kepada semua orang kafir, akan tetapi hanya terhadap orang-orang kafir yang memerangi kaum Muslim. Setiap orang Islam diperintahkan untuk berbuat baik kepada semua manusia termasuk orang-orang kafir yang suka perdamaian dan tidak memerangi kaum Muslimin. 

Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya:

“Dari Abdullah bin Umar dari Nabi S.A.W, “Siapa yang membunuh mu’ahad, maka dia tidak akan mencium bau syurga.””

(Riwayat Al-Bukhari).

Yang dimaksudkan mu’ahad di sini adalah orang kafir yang memiliki perjanjian dengan orang Islam. Nabi S.A.W mengancam pembunuh bukan-Muslim, tidak akan mencium bau syurga jika yang terbunuh itu tidak terlibat memerangi umat Islam. Orang kafir yang boleh dibunuh dalam masa peperangan adalah mereka yang memerangi umat Islam. Keterangan ini menunjukkan bahawa betapa besarnya penghargaan Islam terhadap nyawa manusia.

Akidah kuat akan mendorong ke masjid, belajar dan mengajar, mengundang rahmat Allah

Maksudnya:

“Dan (Tuhan berfirman lagi), Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

(Al-A’raf: 96)

Ketaatan akan membawa nikmat dan keberkahan, sebaliknya, kekufuran mendatangkan laknat dan kesengsaraan. Maka solusi musibah ini adalah segera bertaubat dengan beriman dan bertakwa, iaitu meninggalkan kekufuran, kesyirikan dan perbuatan keji.

Orang yang akidahnya kuat tidak akan stres

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.” Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

(Ar-Rad: 28)

Setiap orang Islam mesti kenal siapa Tuhannya. Allah S.W.T adalah pemilik langit dan bumi. Hanya kepada-Nya, pergantungan dan tawakal manusia. Tetapi kenapa masih ada orang yang stres? Kerana mereka tidak kenal siapa Tuhannya. Tak kenal, maka tak cinta. Tak cinta, maka tak ada ketaatan. Tak ada ketaatan, maka tak ada iman. Tak ada iman, maka tak ada pertolongan dan reda Allah S.W.T:

“…dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).”

(At-Talaq: 2)

Ayat ini menerangkan mengenai sesiapa yang bertakwa kepada Allah, Dia akan bagi solusi dan limpahan rezeki dari sumber yang tak disangka-sangka. Rezeki itu ada dua, satu rezeki yang sudah ditetapkan seperti upah dari pekerjaan dan keduanya rezeki yang tidak terduga dari hasil ketakwaan kepada Allah S.W.T. Jadi kuatkanlah keimanan dan sentiasa ingat kepada Allah S.W.T.

Kalau akidah kuat, akan mudah menerima setiap takdir Allah

Maksudnya:

“Katakanlah (wahai Muhammad), “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”.”

(At-Taubah: 51)

Orang-orang beriman, berkeyakinan bahawa tidak akan menimpa mereka, kebaikan mahupun keburukan, kekalahan mahupun kemenangan, melainkan yang telah ditetapkan Allah di Lauh Mahfuz. Dengan itu, mereka tidak merasa berbangga diri ketika berjaya dan tidak merasa sesak dada kami ketika tidak berjaya. Sebagai seorang Mukmin, mereka sedar bahawa Allah tidak mungkin menyengsarakan hidup mereka, kerana Dia-lah Pelindung dan hanya kepada-Nyalah hendaknya orang-orang yang beriman dengan keimanan yang mantap bertawakal setelah sebelumnya berusaha secara itqan (bersungguh-sungguh).

Dari Abdullah bin Abbas R.A, bahawa Rasulullah S.A.W  bersabda, “Jagalah Allah, nescaya Dia menjagamu. Jagalah Allah, nescaya kamu mendapati-Nya bersamamu. Jika kamu mempunyai permintaan, mintalah kepada Allah. Jika kamu memerlukan pertolongan, minta tolonglah kepada Allah. Ketahuilah, seandainya seluruh manusia bersatu padu untuk memberikan manfaat dengan sesuatu, mereka tidak akan pernah dapat melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan untuk diri kamu dan jika mereka bersatu-padu untuk memberikan bahaya kepada diri kamu dengan sesuatu, mereka tidak akan pernah dapat melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan untuk diri kamu. Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah mengering.”

(Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Jadi apa yang menyebabkan jiwa manusia stres? Di antara sebabnya, mereka meninggalkan dan semakin jauh dari Allah S.W.T.

Ketika beriman kepada Allah S.W.T, akan mengikuti Nabi S.A.W

Kebanyakan manusia merasai dirinya sudah beriman, merasai sudah bertakwa, merasai akidahnya sudah kuat. Jadi buktikan semuanya itu! Siapakah akidahnya yang paling kuat? Yang paling kuat akidahnya ialah Rasulullah S.A.W. Baginda disakiti oleh kaumnya. Baginda dirancang hendak dibunuh oleh kaumnya, diusir oleh kaumnya, dipulaukan oleh kaumnya, dituduh seorang penyihir, gila, pemecah belah, penyair dan lain-lainnya. 

Baginda S.A.W pernah bersembunyi di dalam gua selama tiga hari tiga malam, dengan meninggalkan rumahnya dan keluarganya, hidup di tempat yang sempit, dengan makanan seadanya. Cuba fikir-fikirkan, Rasulullah berdakwah di Makkah selama 13 tahun tetapi akhirnya diusir dari Makkah. 

Pernahkah dalam sejarah dibincangkan bahawa Baginda pernah mengeluh dan berputus asa? Sedangkan kita baru susah sedikit, mulai mengeluh, “Kenapa terjadi begini dan begitu, sedangkan saya sudah solat malam, sudah solat dhuha, sudah puasa sunat, sudah solat witir, solat tahajud, sudah sedekah, sudah baca al-Quran tetapi kenapa urusan hidup saya semakin susah dan kenapa belum dapat sebarang solusi akan masalah saya yang bertimpa-timpa Fikir-fikirkanlah!

Nabi Ya’kqub A.S pernah berpisah dengan anaknya Nabi Yusuf A.S. Sebahagian Mufassirin mengatakan, mereka berpisah selama 40 tahun sehingga Nabi Yusuf telah menjadi Nabi. Walaupun Nabi Ya’kqub seorang Nabi dan telah dijamin syurga, tetapi apabila mendengar sahaja berita yang sangat menyedihkan mengenai anak kesayangannya telah dimakan serigala, Baginda terus mengadu kepada Allah:

“…. “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya.””

(Yusuf: 86)

Tetapi kebanyakan manusia yang merasa diri sudah beriman, tatkala diuji Allah S.W.T, sudah mengeluh, menyalahkan Tuhan, dan mengadu-ngadu kepada manusia sedangkan Allah dia lupakan. 

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji keimanannya (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), jelas apa yang diketahui-Nya mengenai orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan jelas pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.”

(Al-Ankabut: 2-3)

Jika manusia mengaku beriman kepada Allah S.W.T, maka pengakuan itu mesti diuji. Kerana cinta Allah yang Maha Besar sahajalah yang akan membantu manusia untuk mengenal kejujuran dan keikhlasannya dalam keimanannya. Keimanan yang telah teruji, pasti akan berakar tunjang di dalam hati. Keimanan para Sahabat Rasulullah S.A.W juga diuji.

Lihatlah bagaimana Bilal bin Rabah diseksa, bagaimana Khabab bin Ar-Arad diseksa, bagaimana keluarga Sumayyah diseksa, bagaimana Muslimat terdahulu, Masitah diseksa dan Asiah isteri Firaun diseksa. Kita belum pernah diuji seperti mereka. Bagaimana seandainya, ujian seberat itu Allah berikan kepada kita, manusia akhir zaman ini. Mungkin sebahagian dari kita ada yang akan meninggalkan agama, murtad. Dan mungkin juga menjual akidahnya dan agamanya untuk mendapatkan sedikit kenikmatan dunia, seperti Hadis Nabi di bawah. Na’zubillah min zalid.

“Nabi S.A.W berpesan kepada para Sahabat dalam sabdanya yang bermaksud, “Bersegeralah beramal sebelum munculnya fitnah yang datang bagaikan potongan-potongan malam yang gelap, seseorang di pagi harinya beriman dan di petangnya telah menjadi kafir atau petangnya masih beriman dan paginya telah menjadi kafir. Mereka menjual agamanya dengan dunia.””

(Hadis Riwayat Muslim)

Jadi kalau kalian diuji dengan sedikit ujian kesempitan rezeki atau mungkin ditinggalkan oleh orang yang dicintai, mungkin dibenci oleh keluarga kalian atau orang tua. Ketika itu lihatlah apa yang berlaku kepada Saad bin Abi Waqqas, apa yang dia lakukan? Ibunya mengatakan, “Saad, kalau kamu tidak keluar dari agamamu, aku akan mogok makan sampai mati, agar engkau dicela oleh orang-orang di Makkah, sebagai pembunuh ibunya.” Lalu ibunya mogok lapar sehingga dalam keadaan tenat walaupun Saad merayu ibunya dengan berbagai-bagai cara agar ibunya makan, tetapi tetap tidak berhasil dan masih bertegas agar Saad keluar dari akidahnya. 

Akhirnya Saad mengatakan, “Ya Ummi, seandainya engkau memiliki 1,000 nyawa, lalu nyawamu satu persatu keluar, namun aku tidak akan tinggalkan agama Muhammad duhai Ummi, silakan engkau makan atau tidak makan sama sekali.” Saat itu Umminya melihat, tidak mudah akidah anaknya ini, akhirnya umminya makan. 

Jadi mampukah kita berbuat seperti itu? Jadi jangan merasa sudah kuat imannya, merasa sudah banyak amalnya, merasa sudah kukuh akidahnya, sedangkan iman kita belum teruji.

Sungguh kasihan sekarang, melihat ramainya orang semakin jauh dari majlis ilmu. Jadi menjadi kewajipan bagi yang hadir ke majlis ilmu, menyampaikan nilai-nilai Islam ini, nilai-nilai akidah ini, agar ianya tersebar jauh kepada orang-orang yang kalian kenali dalam kalangan sahabat-sahabat kalian di group WhatsApp, Facebook, TikTok, Twitter, di tempat kerja, Telegram, Instagram, keluarga kalian atau di mana-mana sahaja kalian berada. Kita perlu bersama-sama menuju kepada Allah S.W.T. 

Orang yang imannya kuat akan pedulikan orang lain

Dalam Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim dijelaskan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Tidak beriman salah seorang dari kalian sampai mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ungkapan ‘tidak beriman’ bukan bererti menjadikan pelakunya menjadi kafir, cuma tidak memiliki iman yang sempurna. Ungkapan ‘mencintai saudara’ bermaksud dalam hal kebaikan bukan menyetujui semua tindakannya meski dalam hal yang buruk. Jadi peranan akidah dalam membina kehidupan yang harmoni dan hidup dalam kasih sayang dalam keluarga atau masyarakat, ialah dengan iman. Kalau berbicara soal mengutamakan atau membantu orang lain, tidak perlu menunggu kaya. Allah S.W.T menceritakan mengenai orang-orang Ansar dalam ayat di bawah:

“Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat kedekutnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”

(Al-Hasyr: 9)

Ayat ini menjelaskan bahawa orang-orang Ansar adalah orang-orang yang bersih hatinya di mana mereka tetap gembira dengan orang-orang Muhajirin. Bahkan dalam kondisi susahpun mereka akan mengutamakan kepentingan orang lain daripada kepentingan mereka sendiri.

Dalam tafsir ayat ini, para ulamak membawakan kisah yang terkenal, kisah Sa’ad bin Rabii’ dengan Abdurrahman bin Auf. Saád bin Robi’ berkata kepada Abdurrahman bin Auf, “Aku termasuk orang Ansar yang paling banyak hartanya, silakan ambil setengah hartaku dan aku memiliki isteri lebih dari satu maka silakan pilih salah satu lalu aku akan ceraikan setelah Habis ‘iddahnya maka silakan engkau nikahi.”

Hal ini diucapkan oleh Saad bin Robi’ kerana Abdurrahman bin Auf tadinya adalah saudagar kaya raya di Kota Makkah, namun ketika berhijrah jadilah beliau menjadi seorang yang miskin mendadak, tidak memiliki harta apapun. Akan tetapi tawaran tersebut tidak diterima oleh Abdurrahman bin Auf, akan tetapi beliau hanya meminta ditunjukkan di mana letaknya pasar agar beliau boleh berniaga.

Cuba bandingkan dengan kondisi kita di zaman ini, tentu tidak ada yang sampai pada tahap seperti ini. Saad bin Robii’ bukan hanya menawarkan sebahagian hartanya, bahkan setengah dari hartanya, dan bukan hanya hartanya, bahkan isterinya sendiripun rela ia berikan dan hal ini jelas pernah terjadi. Seandainya ini tidak diriwayatkan dengan sanad yang sahih tentu kita akan berkata ini hanyalah dongeng belaka. Akan tetapi kisah ini benar, pernah dilakukan oleh para Sahabat. Tidak usah hairan, kerana guru mereka adalah Nabi S.A.W.

Bila akidah kuat, akan peduli jiran tetangga

Diriwayatkan dari Abu Syuraih R.A, Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:

“Demi Allah, dia tidak beriman! Demi Allah, dia tidak beriman! Demi Allah, dia tidak beriman!” Seseorang lalu bertanya, “Siapa ya Rasulullah?” Beliau bersabda, “Orang yang membuat tetangganya merasa tidak aman dari kejahatannya.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Ia adalah bukti keimanan yang harus terwujud dalam kehidupan seorang Muslim. Memuliakan jiran adalah salah satu di antaranya. Ini memberikan gambaran kepada kita bahawa kebaikan tidak sekadar dengan Allah ( habluminallah), tapi harus mencakup pula hubungan dengan sesama manusia, antaranya, jiran.

Selain bukti keimanan, memuliakan jiran juga dapat melahirkan kesejahteraan hidup dalam masyarakat. Dengan saling memuliakan antara jiran, tidak akan ada lagi permusuhan, kebencian, persaingan, egois, dan saling merendahkan. Dan, inilah landasan awal bagi terbangunnya sebuah peradaban yang besar.

Akidah kuat itu menjadikan diri menjaga lisan

Kita hidup sekarang lebih banyak di dunia maya daripada di dunia nyata. Salah satu tanda kiamat itu, sudah nampak dengan jelas, tersebarnya tulisan, seperti dalam Hadis Nabi S.A.W di bawah:

“Dari ‘Amr bin Taghib R.A, beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya di antara tanda-tanda kiamat adalah melimpah ruahnya harta dan banyaknya perniagaan dan tersebarnya tulisan.””

(Sunan An-Nasa’i)

“Dari Abu Hurairah, Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya, “Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah ia berkata baik atau lebih baik diam (Jika tidak mampu berkata baik).”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Seandainya masih ada komen-komen negatif kalian dan masih ada tulisan-tulisan buruk kalian, itu bukti akidah kalian belum kuat dan kalian perlu, mengkaji 89 ayat dalam Al-Quran yang dimulai dengan kalimah ‘Wahai orang-orang yang beriman’. Allah S.W.T memanggil! orang-orang beriman. Kalau kalian tidak beriman, silakan berkata-kata dan menulis apa sahaja semahu-mahunya. 

Pesan Nabi S.A.W, dari Abdullah bin Mas’ud R.A yang bermaksud:

“Bukanlah orang Mukmin, orang yang suka mencela, orang yang suka melaknat dan orang yang suka berkata-kata kasar dan juga kotor.”

(Hadis Riwayat At-Tirmizi dan Al-Hakim)

Di mana sekarang kalau kita lihat, netizen di warga net, berleluasa membiasakan dirinya untuk melaknat orang lain, mencelanya, mencari-cari aibnya, menjatuhkan harga dirinya, berkata-kata kotor dan kasar. Ini menunjukkan bahawasanya, dia bukan Mukmin yang sejati, bahkan memiliki iman yang rendah dan tidak sempurna. Hal ini disebabkan kerana imannya tidak mampu mencegahnya dari perbuatannya yang tidak bermoral itu. 

Penutup

Akidah itu, bukan hanya ucapan di lisan dan akidah itu bukan hanya tulisan di mana-mana media sosial, yang menyatakan kalian seorang Islam yang beriman. Akidah adalah sebuah keyakinan di dalam hati, yang diucapkan di lisan, dan dipraktikkan di dalam kehidupan. 

Jadi akidah itu mesti dimulai dengan ilmu yakin. Bagaimana untuk sampai yakin, kalau kalian tidak mempunyai ilmu. Malangnya, kebanyakan umat Islam sekarang ini, Islam keturunan dan Islam pada nama sahaja. Malas belajar mengenai Islam dan lebih banyak berkorban waktu untuk mengejar dunia dari menyediakan bekal ke akhirat. Di mana akan berbuahnya akidah yang kuat dan kental, kalau manusia semakin menjauh dari mengenal ilmu mengenai Allah S.W.T.

Maka kita diperintahkan Allah S.W.T untuk belajar sebelum berkata-kata dan beramal:

“Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepada-Nya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, dan (ingatlah)! Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).”

(Muhammad: 19)

Wallahu’alam.

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 15/2/2022

- Advertisement -