Kedah model muafakat politik, tiada yang dizalimi

- Advertisement -

KESTABILAN politik negara dalam realiti yang ada hanya dapat diwujudkan dengan kesatuan antara semua pihak tanpa ada sikap untuk mendominasi atau menguasai kebersamaan telah dimeterai. Serta tidak melakukan tindakan-tindakan yang bersikap ekstrem, melampau, merugikan rakyat dan negara, atau menyeleweng dari kerangka Perlembagaan dan keluhuran undang-undang. 

Itulah mesej ditegas dan diperingatkan oleh YAB Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS. Kenyataan itu jelas bermaksud untuk mengukuhkan lagi permuafakatan politik yang telah terjalin, setelah Pakatan Harapan (PH) tumbang akibat perpecahan kerana dominasi DAP dalam kerajaan dibentuk mereka. 

- Advertisement -

PH bukan hanya ‘membakulsampahkan’ janji yang telah dibuat, malah PH juga telah menimbulkan ketakutan rakyat akibat beberapa tindakan ekstrem mereka. Pemimpin hari ini perlu lebih fokus bekerja dan menyelesaikan permasalahan rakyat, dengan mandat diberikan sehingga tamat penggal. Bukan menimbulkan keresahan dan suasana politik tegang dengan isytihar PRN dan bertanding bersendirian meninggalkan rakan.

Sanusi bahkan telah membentangkan contoh pemerintahan Kerajaan Negeri Kedah yang dipimpinnya secara gabungan bersama PAS, BERSATU dan Umno untuk menjadi rujukan kepada usaha mewujudkan kestabilan politik seperti dikatakan. Kesediaan itu diterjemahkan secara konsensus dan rundingan hinggakan jawatan di semua peringkat diagihkan secara adil dan harmoni. Kerana rakyat sudah ‘muak’ dengan permainan ‘politik berterusan’ yang merugikan negara dan rakyat seluruhnya.

Walaupun Umno hanya memiliki dua kerusi mewakili BN di Kedah, tetapi jumlah sedikit ini tidak pernah diperkecilkan. Seorang darinya dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, selain agihan turut diberi dalam jawatan di peringkat Ahli Majlis dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung/Komuniti (JPKK). 

Keterbukaan tersebut adalah bukti ketelusan kerjasama di mana telah membantu Kedah dipacu pembangunannya dan kesejahteraan ke atas rakyatnya tanpa ada hiruk-pikuk politik. Ia seharusnya model untuk negeri-negeri lain mewujudkan muafakat dan perikatan yang sama. Tidak perlu ada pihak cuba meracuni dan mengadu-domba secara salah. Pengalaman kekalahan PRU14, dan kerisauan pemerintahan PH perlu dijadikan iktibar untuk semua.

Bahkan, ia selari dengan tindakan Kerajaan Persekutuan yang kini diketuai Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob daripada Umno di mana menggabungkan parti-parti didukung dan mewakili masyarakat majmuk pelbagai kaum, agama dan budaya dalam negara ini dari Perlis hingga ke Sabah. Langkah mengadakan Confidence and Supply Agreement (CSA) dengan pihak pembangkang itu juga adalah demi mewujudkan kestabilan politik yang membawa kepada menjaga kepentingan rakyat dan negara.

Demikian model dan pendekatan dapat diadakan, mengapa mesti kuasa dipegang sendiri digugat dan dirungkaikan? Ia sebenarnya lebih membuka peluang kepada bahaya yang sedia menerkam. Malah, ia langkah tidak matang memanipulasi demokrasi untuk mencari lebihan penguasaan atau dominasi ke arah melunaskan kepentingan tertentu.

Itulah sebenarnya ancaman atau ketidakbertanggungjawaban yang sepatutnya dicegah dan ditangani. Bukannya terus membina salah faham dan semakin merenggang serta menjadikan hasrat penyatuan dan perpaduan kian berkecamuk. Mari duduk di atas paksi yang jujur, benar dan matang demi kepentingan rakyat terbanyak yang sedang berdepan pelbagai cabaran kini, pasca pandemik COVID-19.

“Islam Menyatukan Ummah”

YB USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT
Ketua Penerangan PAS Negeri Kedah
ADUN Sungai Limau – HARAKAHDAILY 14/2/2022

- Advertisement -