Oleh ZULKEFLI HUSSIN
PASIR PUTEH: Kerajaan negeri berusaha meningkatkan jaringan internet di kawasan luar bandar melalui penggunaan teknologi satelit membabitkan 18 lokasi perkampungan Orang Asli di Gua Musang.
Menteri Besar Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil perhatian serius mengenai perkembangan teknologi dan pembangunan infrastuktur digital bagi memastikan Kelantan sentiasa seiring dalam pembangunan teknologi.
Katanya, bagi rakyat yang tinggal di luar bandar, syarikat telekomunikasi BiNa NET akan membantu menyalurkan atau memberi kemudahan internet kepada rakyat dalam pelbagai perkara khususnya bidang pendidikan dan aktiviti ekonomi secara atas talian.
“Dengan adanya liputan tersebut sekurang-kurangnya dapat memberi khidmat kepada rakyat supaya mereka boleh menggunakan internet berasaskan satelit untuk melayari internet dengan lebih baik.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kerana Kelantan ICT Gateway BiNa NET berusaha mengatasi masalah liputan rangkaian jalur lebar kepada rakyat,” katanya selepas merasmi Pelancaran Perkhidmatan Internet Satelit Luar Bandar (PeSAT) di Jeram Mengaji Agro Resort, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Besar Dato Mohd Amar Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Dato Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Ahmad juga berkata, kadar penggunaan internet semakin tinggi sama ada di bandar atau luar bandar lebih-lebih lagi kesan penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara sejak dua tahun lalu menyebabkan penggunaan jaringan internet amat penting termasuk bekerja dari rumah (BDR) dan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).
“Berdasarkan statistik, kedudukan Kelantan juga masih lagi belum mencapai tahap yang diinginkan dari aspek kadar penembusan jalur lebar dan dengan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) ia adalah satu lonjakan baharu sebagai satu usaha dan perancangan pelan tindakan bagi menyediakan asas untuk liputan jalur lebar yang menyeluruh serta berkualiti tinggi bagi mempersiapkan negara untuk peralihan ke arah teknologi 5G tahun ini,” katanya.
Beliau juga berkata, negara kini berada dalam era berasaskan teknologi Revolusi Industri 4.0 dan transformasi digital ekonomi yang mewujudkan ekosistem bagi pertumbuhan ekonomi digital seperti perkakasan pintar terutama berasaskan Internet Kebendaan (IoT), teknologi kreatif dan e-dagang.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri yakin pelan hala tuju teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negeri bagi tempoh tujuh tahun bermula 2019 hingga 2025 akan menyokong pelaksanaan pelan strategik Kelantan melangkah ke hadapan serta pelan induk pembangunan mampan berteraskan ICT,” katanya.
Kata beliau juga kerjasama bersepadu antara agensi kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan terutamanya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dapat diperhebatkan bagi memastikan pelaksanaan projek-projek di bawah Jendela berjalan lancar.
“Saya juga berharap rakyat Kelantan yang berada di luar bandar dapat menikmati kemudahan internet yang baik serta memberi manfaat dari segi pendidikan, ekonomi, dan sosial,” katanya.
Sementara itu, Dr Mohamed Fadzli berkata, fokus penyediaan internet turut membabitkan 200 lokasi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 50 sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang sudah dikenal pasti tidak mempunyai akses internet.
Katanya penggunaan internet bagi tujuan pendidikan amat penting sekarang memandangkan wabak Covid-19 masih menular dalam kalangan komuniti dan menjadi keutamaan kerajaan untuk memastikan rakyat di luar bandar terutama guru dan pelajar memperoleh akses internet lebih baik. – HARAKAHDAILY 30/1/2022