PRN Johor: Kerjasama MN, PN masih berjalan

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR:
Rundingan kerjasama politik PAS bersama Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih berjalan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya sentiasa berunding dengan semua parti politik utama untuk mencapai suatu yang baik demi kestabilan politik dan negara.

“Presiden kita (PAS) mengadakan semua rundingan dengan semua pihak, terutama parti-parti politik utama di negara ini. PAS terbuka untuk mencapai suatu kestabilan politik.

- Advertisement -

“Kita ada berjumpa secara rasmi dan tidak rasmi dengan semua parti politik bagi mengadakan rundingan,” katanya kepada media selepas Program Lajnah Perpaduan Nasional sempena sambutan Tahun Baru Cina, di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

PAS sebelum ini menyatakan kesediaan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor dibubar pada Sabtu.

Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, sebagai sebuah parti lama dalam arena politik, belum pernah pihak PAS tidak mengambil bahagian dalam PRN atau Pilihan Raya Umum (PRU) yang diadakan.

Bagaimanapun menurutnya PAS belum memberikan sebarang ketetapan untuk bekerjasama dengan mana-mana gabungan parti utama pada PRN Johor.

“Tarikh PRN Johor belum lagi diumumkan, Suruhanjaya Pilihan Raya pun belum mesyuarat lagi, jadi kita tengok lepas SPR umumkan, kita akan menyatakan pendirian dan ketetapan kita.

“PAS dan PN juga sedang mengkaji hala tuju untuk menghadapi PRN di Johor, sebab negeri tersebut terdapat 56 kawasan Dewan Undangan Negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/1/2022

- Advertisement -