Filipina buka semula sempadan kepada pelancong asing

- Advertisement -

MANILA: Filipina akan dibuka semula kepada pelancong asing yang divaksin sepenuhnya dari kebanyakan negara  seluruh dunia menjelang 10 Feb ini, selepas hampir dua tahun menutup sempadannya untuk membendung wabak Covid-19.

Jurucakap Presiden Karlo Nograles dalam satu taklimat pada Jumaat (28 Jan) berkata, industri pelancongan Filipina kini boleh pulih dan ia bakal kembali memberi sumbangan besar kepada pekerjaan, mata pencarian dan pertumbuhan ekonomi negara itu.

- Advertisement -

Pengendali pelancongan di seluruh negara kepulauan yang terkenal dengan pantai dan tempat menyelamnya itu telah musnah akibat kejatuhan bilangan pelancong antarabangsa dan sekatan ke atas perjalanan domestik, impak pandemik Covid-19.

Kesengsaraan mereka diburukkan lagi dengan taufan besar yang melanda negara itu pada Dis 2021 yang  memusnahkan pusat-pusat peranginan, restoran dan kafe di destinasi pelancongan popular.

Terdahulu, Filipina merancang membuka kembali sempadannya kepada pelancong asing mulai 1 Dis 2021, tetapi ditunda susulan kemunculan varian Omicron.

Pengumuman pada Jumaat itu sehubungan itu membenarkan penyambungan semula perjalanan tanpa visa untuk lawatan singkat oleh warganegara dari 157 negara yang telah menikmati kemasukan tanpa permit ke Filipina sebelum wabak itu bermula.

Pelancong yang telah divaksin sepenuhnya dari negara dalam senarai perlu diuji negatif untuk Covid-19 sejurus sebelum terbang ke Filipina dan tidak perlu dikuarantin semasa ketibaan.

Senarai itu tidak termasuk China, pasaran pelancong Filipina yang paling pesat berkembang, serta Taiwan dan India.

Namun termasuk dalam senarai tersebut ialah baki 10 sumber pelancongan teratas Manila, seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun, Australia, Kanada dan Britain.

Timbalan Setiausaha Kesihatan Filipina, Rosario Vergeire berkata, adalah tidak masuk akal untuk menyekat pelancong antarabangsa berdasarkan kadar penularan Covid-19 di Filipina yang tinggi,  yang ‘mungkin lebih tinggi’ berbanding di sesetengah negara.

“Berdasarkan fakta tersebut kami mengesyorkan untuk melonggarkan sekatan, namun warga asing yang tidak divaksin akan dilarang masuk ke negara ini mulai 16 Feb ini,” kata Nograles.

Sehingga kini, kira-kira separuh daripada 110 juta populasi di Filipina sudah lengkap vaksin sepenuhnya. Negara itu telah merekodkan lebih 3.4 juta jangkitan termasuk lebih 53,000 kematian sejak pandemik Covid-19 tercetus dua tahun lepas. – AFP

- Advertisement -