Penduduk takut kejadian sama berulang

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE

- Advertisement -

SERI KEMBANGAN: Kejadian tanah mendap, atau tanah runtuh di Lestari Perdana, Seri Kembangan di sini, pada Selasa mendatangkan rasa takut kepada penduduk sekitar.

Pekerja di kedai perabot berhampiran, Lee Siew Keng, 46, berkata dia takut sekiranya berlaku kejadian sama memandangkan tempatnya bekerja berhampiran kawasan berkenaan.

Menurutnya, semasa kejadian, tiada tanda-tanda awal atau sebarang bunyi kuat sebelum tanah di kawasan berkenaan jatuh bersama beberapa kenderaan yang parkir di kawasan itu.

Katanya, hanya hujan lebat semasa kejadian. Bagaimanapun, kata Siew Keng, dia maklum kejadian pada Selasa petang itu adalah kejadian kedua.

Ditanya mengenai kelancaran perniagaan selepas daripada insiden itu, kata Siew Keng, premisnya masih menerima pelanggan seperti biasa.

Katanya, perniagaan perabot di situ berjalan lancar dan kerja-kerja membaik pulih yang dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengganggu mereka berniaga atau pelanggan yang singgah di premis tempatnya bekerja.

17 premis diarahkan untuk mengosongkan bangunan berikutan kerja-kerja pemulihan yang dijalankan di sini. Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE

Sementara itu, berbeza dengan kedai perabot yang lebih berhampiran lokasi kejadian yang terganggu akibat kerja-kerja pemulihan jalan di situ.

Pekerja kedai perabot, Mohamad Hussien, 30, berkata premisnya kurang dikunjungi pelanggan sejak kejadian itu pada Selasa.

Ditanya mengapa beliau tidak turut serta mengosongkan premis itu bersama premis lain, kata Mohamad Husien, dia hanya mengikut arahan majikan untuk terus bekerja.

Jelasnya, dia tidak gentar sekiranya berlaku kejadian susulan dan yakin sempat melarikan diri jika berlaku kejadian berulang.

Selain itu, dalam tinjauan sama Harakahdaily, kerja-kerja pemulihan peringkat awal sedang dijalankan oleh PBT dengan pemasangan besi cerucuk.

Kerja-kerja pemasangan besi cerucuk sedang dijalankan PBT, di sini. Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE

Dalam masa sama, ground settlement marker (GSM) turut dibuat bagi mengenal pasti jika masih terdapat pergerakan tanah secara berterusan di kawasan kejadian.

Antara premis yang diarahkan untuk mengosongkan premis adalah kedai menjual pakaian dan peralatan hospital, Alchemy Apparel.

Ketika dihubungi, mereka menjelaskan premis terpaksa ditutup berikutan arahan pengosongan, namun tiada sebarang makluman berkenaan tempoh pengosongan dan hanya dimaklumkan premis perlu dikosongkan sehingga diberitahu kelak.

Katanya, jika pelanggan ingin membeli pakaian atau keperluan hospital, pelanggan dibenarkan untuk ‘self pick-up’ sahaja berhampiran premis perniagaan itu. – HARAKAHDAILY 28/1/2021

- Advertisement -