Ukraine: Biden beri amaran kepada Putin

- Advertisement -

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden pada Selasa (22 Jan) mengumumkan bakal mempertimbangkan sekatan peribadi ke atas Presiden Vladimir Putin jika Rusia menyerang Ukraine, ketika pemimpin Barat meningkatkan persiapan ketenteraan di Ukraine.

Kenyataan Biden itu dibuat sehari selepas AS mengumumkan untuk meletakkan kira-kira 8,500 tenteranya dalam keadaan berjaga-jaga sebagai persediaan sebelum ditempatkan di Eropah jika diperlukan, dalam usaha terbaharu untuk meyakinkan sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) susulan penambahan tentera Rusia di sempadan Ukraine.

- Advertisement -

“Sekiranya dia (Putin) mengerahkan tenteranya memasuki Ukraine, ia akan menjadi pencerobohan terbesar sejak Perang Dunia Kedua. Ia akan mengubah dunia,” tegas Biden kepada pemberita di sini.

Ditanya mengenai apa yang akan menyebabkan dia mengerahkan pasukam ketenteraan untuk berjaga-jaga susulan senario ketegangan di Ukraine itu, Biden berkata, ia bergantung kepada ‘apa yang Putin lakukan atau tidak lakukan’ tetapi dia mengulangi bahawa tentera AS belum lagi dihantar ke Ukraine buat masa ini.

“Saya mungkin akan memindahkan sebahagian daripada tentera AS itu (ke Ukraine) dalam tempoh terdekat.

“Buat masa ini, kami belum  berniat untuk meletakkan tentera Amerika, atau tentera NATO di Ukraine. Namun seperti yang saya katakan, ia akan menimbulkan impak ekonomi yang serius jika dia (Putin) mengarahkan tentera Rusia memasuki Ukarine,” ujarnya. 

Ini bukan kali pertama Biden mengeluarkan amaran kepada Putin berhubung isu pencerobohan terhadap Ukraine.

Pada 30 Disember 2021, Biden memberi amaran kepada Putin, mengenai tindak balas keras jika berlaku sebarang pencerobohan ke atas Ukraine oleh Rusia, yang mana pemimpin Kremlin itu pula menegaskan, sekatan anti-Moscow yang dipelopori AS adalah satu ‘kesilapan besar’.

Namun selepas panggilan telefon selama 50 minit, yang kedua dalam tempoh lebih tiga minggu, kedua-dua presiden itu akhirnya menyatakan sokongan antara satu sama lain untuk mengadakan jalinan diplomasi lanjut mengenai kebuntuan antara Rusia dan Ukraine yang disokong Barat. – Agensi

- Advertisement -