Kayuhan Santai Belia Bagan Serai ‘hangat’

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Kayuhan Santai Belia Bagan Serai akan dianjurkan dengan kapasiti lebih besar pada tahun hadapan berikutan kejayaan dan sambutan hangat diterima khususnya dari penduduk setempat baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Razman Zakaria, program itu dijayakan bagi mengisi masa lapang penduduk dengan aktiviti berfaedah khususnya bagi anak muda. 

- Advertisement -

‘’Dengan pengisian tersebut diharapkan dapat mengelakkan individu dari kegiatan yang tidak sihat. Sepertimana yang dikatakan tadi kita mungkin boleh menggalakkan anak-anak muda serta belia menjadikan berbasikal sebagai satu hobi.

“Kalau masa mereka tidak diisi, maka mereka akan isi dengan perkara-perkara (negatif) yang lain. Jadi mudah-mudahan program sebegini dapat menarik anak muda dan melibatkan (masyarakat) supaya mereka membuat aktiviti aktiviti yang sihat,” ujarnya.

Beliau menyampaikan ucapan pada kayuhan anjuran Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Gunung Semanggol itu di Dewan Terbuka Parit Air Hitam, di sini.

Program disertai lebih 200 peserta itu diketuai Razman dengan memulakan kayuhan sejauh 17 kilometer dari dewan tersebut menuju ke Empangan Bukit Merah kemudiannya berpatah balik melalui jalan Kampung Parit Abu Hassan Ban.

Seluruh peserta terlibat turut diserikan dengan sesi cabutan bertuah antaranya 50 hamper, dua baucar pakej percutian di Kampung Air Bukit Merah Laketown Resort serta hadiah utama berupa dua basikal lipat.

Dalam sesi itu, hadiah utama telah dimenangi oleh anak tempatan iaitu Muhamad Amir Asyraf dari Kampung Parit Mat Keling dan Ahmad Taib dari Parit Buntar. 

Turut hadir Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kerian, Helmi Yusof @ Jusoh serta Ketua Polis Daerah Kerian, Supritenden Mazuki Mat dan Pegawai FAMA Daerah Larut Matang Selama, Noor Shahrizal Mohd Arif. – HARAKAHDAILY 20/1/2022

- Advertisement -