Pengajaran kisah Umar dengan Ibn Al Jarud

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 28)

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

IBN Jarir mengeluarkan daripada Yazid bin Abi Mansur, katanya: Sampai berita kepada Umar bin Al-Khattab bahawa pegawainya di Bahrain iaitu Ibn Al-Jarud atau Ibn Abi Al-Jarud dibawa kepadanya seorang lelaki bernama Idrias.

Bukti menunjukkan dia telah menulis surat kepada musuh dan dia berhasrat menyertai mereka. Ibn Al-Jarud memancung lehernya, sedangkan Idrias memanggil: “Wahai Umar! Wahai Umar!”

- Advertisement -

Umar menulis surat kepada pegawainya itu. Beliau mengarahkannya datang kepadanya. Idrias datang. Dia duduk. Di tangan Umar ada bayonet (sejenis senjata). Lantas Umar mengenakan bayonet itu ke janggut Ibn Al-Jarud sambil berkata: Idrias, Labbaik. Idrias, Labbaik.

Al-Jarud berkata: Wahai Amir al-Mukminin! Dia menulis surat kepada musuh dengan mendedahkan maklumat tentang orang Islam, dan dia berhasrat menyertai mereka.

Umar menjawab: Engkau membunuhnya berdasarkan keinginannya. Siapakah di antara kita yang tidak ada dalam dirinya ingin berbuat dosa. Kalau tidak kerana sunnah, tentu aku akan membunuhmu dengan sebab engkau membunuhnya. (Hayatus-Sahabah, Al-Kandahlawi 2/98)

Pengajaran dari kisah di atas:

1) Saidina Umar memang dikenali sebagai seorang yang sangat kuat menegakkan keadilan dan menyatakan kebenaran. Mulai dari beliau masuk Islam, hingga beliau menjadi khalifah dan meninggal dunia. Bentuk istiqamah menegakkan keadilan ini dalam apa situasi pun, mestilah menjadi pedoman buat diri kita juga.

2) Saidina Umar melantik gabenor, pegawai di pelbagai wilayah Islam. Ini menunjukkan pentadbiran sebuah kerajaan Islam memerlukan pegawai pegawai yang ramai bagi melicinkan perjalanan pentadbiran negara. Namun, lantikan pegawai ini tidak menyekat Umar dari menegur pegawainya jika didapati ada kesalahan yang dibuat.

3) Cara Umar menegur pegawainya sesuai dengan kesalahan yang dibuat. Kadang-kadang dilihat seperti agak kasar, tetapi itulah cara paling sesuai dan terbaik untuk menegur.

4) Tindakan menjatuhkan hukuman mesti dibuat berhati-hati dengan ada bukti yang kukuh terhadap sesuatu tuduhan, bukan sekadar sangkaan atau keinginan dalam hati yang belum terbukti.

5) Dalam sistem pengurusan kini, pelbagai kaedah digunakan untuk membetulkan dan menegur apa-apa perkara yang dianggap salah seperti bentuk audit dalaman dan luaran, surat amaran, tindakan tatatertib, laporan polis, kaunseling dan sebagainya. Apa yang penting ialah perkara yang dibuat bertujuan membetulkan sistem, bukan dengan maksud yang lain. – HARAKAHDAILY 20/1/2022

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -