PAS berdiri atas nama jemaah, bukan individu

- Advertisement -

BANJIR besar yang melanda baru-baru ini, memperlihatkan kesekian kalinya kewibawaan PAS dalam menangani bantuan. Ia cukup jelas terbukti. Limpahan air sungai pada malam itu, tidak hanya menyapu kawasan Hulu Langat, Taman Sri Muda sahaja, malah ia sebenarnya melibatkan banyak lagi kawasan-kawasan yang ada di sekitar banjaran itu dari Selangor, Pahang dan tidak terkecuali juga Negeri Sembilan yang mungkin tidak disedari ramai. Katalah apa sahaja penyebabnya, sama ada pembalakan atau taburan hujan yang melampau dalam satu malam, rakyat tetap menjadi mangsa. Kita fokus kepada bantuan kepada mangsa.

Kawasan-kawasan yang menjadi tular seperti Hulu Langat, akan diziarahi oleh ramai manusia. Sehingga dilaporkan kesesakan sepanjang 11km berlaku di Hulu Langat. Menyusahkan pasukan bantuan melakukan kerja dan merumitkan juga penduduk sekitar. Kedatangan mereka sebagai simpati, ia bagus, alhamdulillah. Dan ia lebih baik lagi jika ditolong mangsa-mangsa itu. Ada yang sehingga berkelahi, memfitnah kerana mendakwa disekat untuk membantu, terlalu bersemangat. Tetapi, hanya berapa hari ia berlangsung? Dalam waktu mungkin seminggu, kawasan tersebut mulai lengang. Ada rumah masih belum dapat dibersihkan lagi, masih banyak lagi kerja yang tersisa.

- Advertisement -

Pasca banjir adalah waktu yang sering dilupai orang dan juga kerana sudah penat. Tetapi, berbekalkan pengalaman membantu mangsa, PAS sudah melakar rancangan bagi menghantar bantuan untuk gelombang kedua, ketiga ataupun keempat. PAS dengan jenamanya Jabatan Amal Malaysia (JAM) tidak putus menghantar bantuan dengan beberapa kumpulan dipecahkan mengikut kawasan dan juga fasa masa. Bukan JAM sahaja, malah banyak NGO yang dianggotai oleh ahli PAS, membantu rakyat, menjadikan jumlah pasukan semakin membesar.

Di kala ramai yang sudah penat, individu atau kumpulan lain perlu bekerja. Cuti mereka mungkin sedikit, jadi tidak boleh lama membantu. PAS dengan bantuan NGOnya, masih bernafsu membantu mangsa-mangsa banjir ini. Salah satu mangsa banjir ialah Johar bin Kassim dan yang tinggal bersama isterinya di Kampung Insaf, Lanchang, Pahang. Rumah mereka telah dihanyutkan air dan tiada apa lagi yang tinggal. Mereka bekerja sebagai penoreh getah. Menyaksikan keperitan kehilangan rumah, NGO yang ahlinya PAS bergabung sesama mereka bagi membina semula rumah mereka.

Alhamdulillah setelah empat hari bertungkus lumus membina semula rumah, dengan kekuatan kira-kira 20 orang sukarelawan, bermodalkan derma orang ramai, YB-YB PAS, hadir dengan wang sendiri, tiada upah, meninggalkan kerja dan perniagaan mereka, melupakan keseronokan bersama keluarga mereka, tanpa mereka kenal tuan rumah sebelum ini, rumah itu akhirnya siap dibina beserta kelengkapan utilitinya. Keringat sukarelawan yang mengalir, dibalas dengan deraian tangis kesyahduan oleh tuan rumah. Memanjatkan doa kepada Allah memohon agar segala kebaikan dikembalikan kepada sukarelawan. Saat yang sangat menyentuh hati.

Inilah PAS, mereka hadir dalam kumpulan. Tiada siapa yang boleh membuat tuntutan bahawa PAS atau JAM adalah milik mereka. Tiada siapa yang boleh mendakwa, NGO PAS adalah hak mereka. Tiada siapa yang boleh menyekat hak untuk PAS dikongsi beramai-ramai. Ia adalah jenama jemaah, bukan individu. PAS akan bertahan lama kerana ini. Jika ia dinamakan kerana individu, maka apabila individu itu mati, maka matilah jenama itu. PAS berpegang prinsip duduk berjemaah, akan menyelamatkan diri, berbanding dengan seekor kambing yang akan mudah dimakan serigala. Satu dua individu tidak mampu melakukan banyak kerja.

Di kala telunjuk manusia memesongkan sasaran mereka kepada orang lain, kerana bencikan PAS, PAS tidak merasa apa-apa kerana jika nama terkenal, nama itu ialah nama jemaah. Biarlah orang lain merasa selesa dengan popular, tetapi PAS dengan gerak kerja tersusun, berorganisasi, mempunyai halatuju yang amat jelas, tidak memerlukan popular, tetapi kesungguhan dan keikhlasan ahlinya. PAS hanya perlukan tenaga yang ingin berkhidmat kepada agama dan bangsa. Sesiapa sahaja PAS akan bantu. Ahlinya amat gembira membantu masyarakat dan bantuan mereka buta kepada agama, bangsa dan juga ideologi. Buktinya walau cerita banjir sudah sejuk, PAS masih berhangatan dengan mangsa. Dan bukan mudah mengendalikan ribuan orang dalam organisasi ini.

Peribadi ini tidak boleh dibuat-buat. Ia hadir dengan semangat dan kesedaran agama yang dipacakkan oleh ulamak di dalam hati mereka bahawa susahnya saudara seagama adalah juga kesusahan diri sendiri. Orang Islam ibarat satu badan, jika sakit salah satu anggotanya, maka anggota yang lain juga akan berjaga malam. Tetapkanlah keikhlasan dalam hati masing-masing, agar ia menjadi saksi di hadapan Allah nanti. Jika anda tidak ikhlas, ia tidak akan meruntuhkan jemaah, sebaliknya andalah yang akan runtuh, kerana sekali lagi, jemaah ini bukan dibina oleh seorang dua.

Terima kasih semua yang bertungkus lumus membersih, menyiapkan kemudahan, menderma dan yang berkorban apa sahaja bagi membantu agama dan rakyat, sekali gus menjadikan jenama PAS ini semakin kuat dan besar. Dari sebatang lidi, ia menjadi seberkas dan menjadi satu ikatan yang besar, menguatkan satu sama lain. Hanya Allah yang akan membalas segala jasa baik anda. Marilah bersama PAS membina jemaah yang lebih kukuh berasaskan Islam dan ulamak sebagai pembimbingnya. Kita bangga dengan jemaah, tidak kepada individu. Budaya ini tiada dalam jemaah lain.

MOHD NASIR ABDULLAH
11 Januari 2022 – HARAKAHDAILY 11/1/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -