Robert Reeder mangsa industri media fitan?

- Advertisement -

PADA 6 Januari 2021 dunia menyaksikan sekumpulan 2,000 rakyat Amerika Syarikat menyerang bangunan US Capitol dengan baton dan senjata lain sehingga menyebabkan kerosakan yang teruk dan lima kematian. Rentetan daripada itu lebih daripada 700 orang didapati bersalah dan dipenjarakan. Salah seorang daripada mereka ialah Robert Reeder, duda anak satu berusia 55 tahun, pekerja Fed Ex yang dijatuhi hukuman penjara tiga bulan.

Menurut Robert Reeder beliau hanyalah seorang ‘accidental tourist’ dan bukanlah penyokong Trump. Untuk rekod Robert Reeder merupakan ahli Democrat berdaftar dan pada hari kejadian beliau hanya mahu mendengar ceramah Trump namun mendakwa ‘terperangkap’ dalam rusuhan yang berlaku. Dakwanya lagi rakaman video yang dibuat dengan telefonnya adalah semata-mata untuk merekodkan kejadian yang sedang berlaku.

- Advertisement -

Robert Reeder merupakan bekas ketua pengakap, jurulatih bola sepak dan bola lisut juga dikatakan bukanlah seorang yang aktif berpolitik atau tergolong dalam sebarang kumpulan ekstremis kanan. Namun setelah semua ini berlaku beliau kini hidup dipulau ramai kenalan dan komuniti tempatan, hilang pekerjaan dan anak tunggal lelakinya kini tinggal bersama bekas isterinya. Malah pihak gereja tempatan juga telah menggesa beliau untuk ‘berehat’ supaya tidak menjadi ‘gangguan’.

Robert Reeder membuat pengakuan kepada FBI (Biro Siasatan Persekutuan) yang sebenarnya beliau mula menyukai kempen politik Trump yakni ‘Make America Great Again’ (MAGA) malah dilaporkan memakai kemeja-t MAGA pada hari kejadian.

Menurut laman pendidikan facinghistory.org kejadian ini membuatkan kita berfikir bagaimana ‘sesuatu yang dilihat sebagai tindakan terpencil beberapa individu boleh menjadi penyumbang kepada peristiwa keganasan dan ketidak adilan yang lebih besar atau serius.’

Jadi tidak keterlaluan sekiranya untuk kita semua ambil serius dan risau akan perkongsian-perkongsian yang dibuat di sosial media dan lain-lain. Sebagai contoh tentu ada di kalangan kita yang sering terlihat perkongsian di muka buku berkenaan dengan kesukaran dan kesempitan hidup ramai pihak ketika seluruh dunia umumnya dan Malaysia khasnya dilanda wabak COVID-19 yang teruk. Hakikatnya ramai rakyat kita yang terkesan dalam pelbagai segi khasnya sisi ekonomi apabila Larangan Perintah Berkurung Diperketatkan.

Jadi tidak hairanlah apabila ramai yang berasa simpati dan menitipkan doa, malah meminta butiran peribadi untuk dibantu setelah membaca beberapa kisah sedih kesempitan hidup pasca wabak COVID-19 melanda. Namun dalam ratusan ribu (melihat kepada capaian shares) Netizen yang mendapat reach berita tersebut benar-benar membaca keseluruhan berita? Berapa ramai pula yang berkomentari tanpa membuat klik kepada berita? 

Jika ya tentulah mereka akan sedar berita sedih seorang bapa yang sarat mengendong sebuah beg di tangan dan sebuah lagi di bahu sambil sebelah tangan lagi memimpin seorang anak kecil berjalan kaki ratusan kilometer di tepi jalan raya bersama seorang lagi anak perempuan beliau setelah kehilangan kerja dan ditinggalkan isteri adalah warga Thailand dan ianya bukan berlaku di Malaysia. Capaian berita tersebut boleh diakses di alhadi.my.

Begitu juga dengan berita berkenaan seorang warga tua yang kehilangan kerja dan terpaksa berbasikal untuk pulang ke kampung dengan caption ‘Warga Emas Diberhentikan Kerja, Kayuh Basikal Ratusan Kilometer Pulang Ke Kampung’, seperti yang dikongsikan page, Mimbar Raudah. Berapa ramai yang sedar akan hal ini?

Dan salah satu berita yang sangat popular sehinggakan diulang siar semula walaupun pernah disiarkan pada Mei 2020 oleh banyak portal tempatan ialah berita daripada Kenya bertajuk ‘Hilang Punca Pendapatan, Ibu Terpaksa Berpura-pura Masak Batu Agar Anak-anaknya Tertidur’.

Sememangnya ianya menyentuh hati sesiapa saja yang membaca caption di Facebook yang berbunyi ‘Anak-anaknya yang seramai lapan orang seringkali tertidur kelaparan ketika menunggu ibu mereka siap ‘masak’ untuk mereka’ sambil ikuti dengan dua memes ‘banjir air mata’.

Apa yang menarik berita ini yang dikongsikan page ‘Berita Tempatan’ walaupun tersiar baru sehari secara organik sudah berjaya mendapat 14,000 likes atau reactions, termasuk 561 komen dan 738 perkongsian semasa artikel ini ditulis. Itu baru satu portal atau page.

Terbaru bukti ramai yang tidak membaca artikel penuh berita ini ialah apabila di ruang komen terdapat komen-komen yang mahu Kerajaan Malaysia membantu keluarga ini dahulu berbanding dengan pelarian luar negara yang ada. Malah ada juga yang menitipkan ‘Maka menjawablah sang pemerintah di akhirat nanti bila mana disoal siasat olehNya akan perihal pentadbirannya. Hehehe.’ Perbuatan ini ditegur pemilik akaun Yus Synda menggesa ‘… Di Kenya tanah kering kontang, cuba baca betul-betul dulu’.

Sememangnya kita tidak mempersoalkan nilai kemanusiaan berita-berita ini mahupun portal yang menyiarkannya, tetapi kepada sikap pengguna media sosial kita sendiri yang ada kalanya berbuat kesimpulan atau menjatuh hukum tanpa usul periksa seperti yang ditegur Presiden PAS sendiri dalam perkongsian bertajuk ‘Apabila Media Menjadi Hakim’ pada 9 Januari 2022 lepas. Jangan hanya kerana berita yang tidak tepat atau fake news negara jadi porak peranda kerana rakyat memberontak atau berguling di jalanan dek termakan fitnah.

Trump dan beberapa individu berpengaruh lain dikatakan berkempen kononnya ‘the election was stolen’ sebelum melaungkan kata keramat ‘we fight like hell’ yang dilihat sebagai penyebab para penyokongnya dan ramai yang lain mengamuk dan merusuh ganas!

Jeffrey Sabol seorang pakar geofizik mengaku di mahkamah telah menarik seorang pegawai polis sebelum membiarkan mangsa dipukul oleh seorang lelaki dengan batang bendera Amerika dan lain-lain dalam ‘in a fit of rage’!  Tentu ramai yang masih ingat akan kenyataan ‘Royal Coup’ atau ‘Coup’ apabila Kerajaan Pakatan Harapan tumbang dek pergelutan kuasa sesama mereka. 

Atau mungkinkah ada yang masih ingat kenyataan yang dibuat sang ‘Anugerah Tuhan’ beberapa tahun lepas bahawa pihak pembangkang sudah memenangi Pilihan Raya Umum sekitar jam 7 malam waktu Malaysia. Sedangkan ramai yang masih terpinga-pinga apakah benar Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia sudah selesai mengira undi puluhan juta rakyat Malaysia seawal itu, beberapa jam setelah pusat undi dan proses pengundian ditutup? Atau tuduhan pengundi hantu Bangladesh yang masih belum dibuktikan?!

Tentu juga kita masih ingat akan insiden rusuhan pendemo BERSIH membaling batu dan botol air ke anggota PDRM sehinggakan penjawat awam daripada Terengganu yang dihantar bertugas ke Kuala Lumpur itu pengsan dan akhirnya kereta polis yang dipandu beliau terbabas melanggar Kompleks SOGO kerana marahkan kerajaan?

Hakikatnya Robert Reeder (dan Jeffrey Sabol) menjadi saksi bahawa budaya ikut-ikutan mob mentality ini boleh berlaku bila-bila masa kepada mana-mana rakyat Malaysia jika tiada pembanterasan terancang dan tuntas. Malah menurut kajian yang dibuat lebih daripada 650 perusuh yang disabitkan kesalahan tidak terlibat dengan kumpulan radikal kanan seperti Proud Boys atau Oath Keepers. 

Kita tidak mahu sesuatu yang positif, laungan kerja amal ‘Rakyat Jaga Rakyat’ tiba-tiba menjadi batu loncatan sesetengah pihak memfitnah kebencian kepada kerajaan atau mana-mana institusi negara, kononnya kerajaan tidak membantu rakyat langsung. 

Malah keprihatinan kerajaan sehari dua ini membuktikan kerajaan sememang mendengar luahan suara rakyat. Tentunya masih banyak ruang juga yang boleh diperbaiki. Biden dalam ulang tahun memperingati peristiwa rusuhan bangunan US Capitol menyelar perusuh sebagai cuba meletakkan pisau di tenguk rakyat Amerika Syarikat hanya kerana seorang individu dan bukannya untuk mempertahankan demokrasi di Amerika Syarikat. Di Malaysia atas nama demokrasi dan ‘memperjuangkan’ nasib marhaen, kita risau ianya satu hari berlaku!

HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan Pusat Kajian Media, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) merangkap penulis buku esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’’ – HARAKAHDAILY 11/1/2022

Bacaan Lanjut:  

1.         https://www.cnbc.com/2021/01/22/capitol-riots-man-admits-dragging-cop-to-be-beaten-by-flag-pole.html

2.         https://baltimore.cbslocal.com/2021/08/12/capitol-rioter-robert-reeder-i-am-a-democrat-who-didnt-support-trump/

3.         https://www.politicalflare.com/2021/10/i-lost-my-job-and-no-one-wants-to-hire-me-maga-rioter-breaks-down-sobbing-at-court-hearing/

4.         https://twitter.com/macfarlanenews/status/1446514336747462675

5.         https://www.newsweek.com/trump-defends-extremely-calming-jan-6-speech-urging-followers-fight-like-hell-1658495

6.         https://www.facinghistory.org/resource-library/profiles-two-perpetrators-capitol-insurrection

7.         https://www.nytimes.com/2021/01/11/us/who-died-in-capitol-building-attack.html

8.         https://www.cbsnews.com/news/january-6-capitol-riot-year-later-hundreds-face-charges-questions-remain/

9.         https://www.facinghistory.org/educator-resources/current-events/mob-violence-human-behavior-capitol-insurrection

10.       https://www.kosmo.com.my/2021/03/15/tiga-beranak-jalan-kaki-hampir-100-kilometer-untuk-cari-kerja/

11.       https://mimbarraudhah.com/?s=warga+emas+naik+basikal

12.       https://www.mstar.com.my/global/dunia/2020/05/03/hilang-punca-pendapatan-akibat-covid-19-ibu-pura-pura-masak-batu-hingga-anak-tertidur-tunggu-makanan

13.       https://harakahdaily.net/index.php/2022/01/09/apabila-media-menjadi-hakim/

14.       https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/12/904974/pendaftaran-mangsa-banjir-digiatkan-segerakan-bantuan-banjir

15.       https://www.astroawani.com/berita-malaysia/anda-mangsa-banjir-ini-bantuan-banjir-keluarga-malaysia-yang-diumumkan-pm-339360

16.       https://www.sinarharian.com.my/article/179037/SUARA-SINAR/Pojok/Berkumandang-slogan-rakyat-jaga-rakyat

17.       https://www.bbc.com/news/world-us-canada-59898559

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -