Rumah Datin Normala antara dicuci Jabatan Amal

- Advertisement -

SEGAMAT: Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Negeri Johor telah turun padang melaksanakan kerja pembersihan pasca banjir di rumah kediaman mangsa-mangsa banjir di sekitar daerah ini, di sini semalam.

Program ini bertujuan untuk membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir atas bencana yang melanda kebanyakan kawasan di negeri ini setelah mereka baharu sahaja pulang dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

- Advertisement -

Menurut Pengarah AMAL Johor, Iqbal Ghani Ismail, operasi pembersihan dan membantu mangsa banjir serta lain-lain perkhidmatan adalah rutin bagi badan sukarelawan uniform meroon itu di seluruh negara.

“Kami turun untuk mencuci rumah-rumah mangsa banjir selepas mereka pulang dari PPS. Sebelum ni kami pergi ke Selangor untuk bantu mencuci rumah, kali ini di negeri sendiri. Ni merupakan rutin kebiasaan Jabatan Amal sewaktu banjir,” ujar beliau.

Seramai 30 anggota Jabatan Amal terlibat membantu membersihkan rumah mangsa-mangsa banjir terutama di Kampung Kuing Patah dan Kampung Padang Kiambang, di sini

Kediaman bekas pengacara TV3, Datin Seri Normala Shamsuddin antara rumah penduduk di Kampung Kuing Patah yang turut dibersihkan oleh pihak Jabatan Amal ketika operasi ini dijalankan.

“Bekalan air merupakan cabaran utama kami. Kami terpaksa mengepam air dari sungai untuk membersihakan rumah penduduk kerana bekalan air terputus,” tambah Iqbal.

Turut hadir sama adalah Timbalan Pengarah 2 Jabatan Amal Malaysia Johor, Mohd Ghazali Ismail. – HARAKAHDAILY 10/1/2022

- Advertisement -