‘Harap Kedah tak serik bantu Pahang’ – Ustaz Rosli

- Advertisement -

TEMERLOH: Misi Bantuan Pasca Banjir PAS Negeri Kedah sekali lagi menghulurkan sumbangan buat mangsa banjir di negeri ini pada satu majlis yang diadakan di Pusat Tarbiah Darul Ansar, Lanchang, di sini kelmarin.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya mengetuai delegasi 15 pimpinan PAS Kedah menyampaikan sumbangan hasil kutipan wang ringgit dan barangan daripada seluruh ahli PAS negeri itu.

- Advertisement -

Kehadiran rombongan dermawan ini disambut meriah pimpinan PAS Negeri Pahang diketuai Pesuruhjaya, Ustaz Rosli Abdul Jabar serta ramai pimpinan PAS Negeri dan PAS Kawasan seluruh Pahang pada majlis berkenaan.

Sebanyak 1,000 alas tidur dan 2 000 bantal serta 1,000 selimut termasuk wang tunai telah disampaikan kepada pimpinan PAS Kawasan-kawasan negeri ini untuk diagihkan pula kepada mangsa banjir di kawasan mereka.

Turut menerima sumbangan pada majlis ini adalah 150 ahli-ahli PAS yang merupakan mangsa banjir dari DUN Lanchang dan DUN Mentakab bagi meringankan beban ditanggung mereka akibat bencana banjir baru-baru ini.

Menurut Dato’ Ustaz Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, sumbangan ini merupakan lanjutan dari siri-siri sebelumnya dan selepas ini pihaknya akan ke Kuantan dan Segamat bagi sumbangan kepada mangsa banjir di sana.

“Ini merupakan musibah dan ujian yang Allah kenakan kepada kita semua terutama yang terlibat banjir dan ujian keprihatinan kepada yang tidak terlibat. Alhamdulillah, hasilnya kita sama-sama prihatin menghulurkan sumbangan tenaga mahupun wang ringgit.

“Harapan saya, kepada seluruh mangsa diharap bersabar dengan ujian Allah dan mudah-mudahan keadaan akan kembali baik dan suasana akan datang akan bertambah baik insya-Allah,” katanya.

Beliau turut memberitahu, PAS Kedah merasa terhutang budi kepada PAS Pahang yang sebelum ini menghantar ramai sukarelawan membantu negeri itu semasa ditimpa musibah kepala air dan banjir di sekitar Gunung Jerai tempoh hari.

Menurut Ustaz Rosli yang juga ADUN Tanjung Lumpur pula, antara program masih berlangsung adalah membantu membaiki pendawaian elektrik rumah, membaiki kenderaan tenggelam banjir dan menukar minyak hitam motosikal.

Beliau juga sangat menghargai segala bentuk sumbangan dan bantuan tenaga dari negeri-negeri lain dan NGO antaranya daripada Kerajaan Negeri Terengganu khasnya melibatkan 2,500 petugas lengkap bersama tangki air dan kenderaan berat.

“Semoga Allah membalas jasa baik semua dengan balasan Syurga, insya-Allah. Musibah yang melanda ini adalah kehendak Allah dengan kuasa takdir-Nya. Sebagai hamba-Nya kita perlu bersabar dengan ujian Allah dan ujian ini untuk mempertingkatkan keimanan kita kepada-Nya.

“Kepada sahabat-sahabat Kedah jangan serik datang (bantu) Pahang, kerana setiap tahun Pahang akan ditenggelami banjir,” ujar beliau berseloroh mesra dengan delegasi pimpinan PAS Kedah yang hadir.

Setiausaha PAS Pahang, Hasanuddin Salim yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas sumbangan dan khidmat sukarelawan di negeri ini.

Alhamdulillah PAS Temerloh melalui Khidmat Malaysia telah bertungkus lumus membantu dan menyelaras kerja-kerja menyantuni mangsa banjir dalam pelbagai bentuk yang datang dari berbagai pihak dari PAS Pusat.

“Juga dari PAS Negeri-negeri, Kawasan-kawasan, GLC dan pertubuhan-pertubuhan NGO yang datang melalui Khidmat Malaysia Temerloh untuk membantu mangsa-mangsa banjir di sini. Bantuan yang dihulurkan sangat membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir.

“Bermula dari mencuci premis, bantuan makanan kering dan bermasak, bantuan barangan seperti toto, selimut, tikar, membaiki barangan elektrik, memulihkan pendawaian elektrik di premis, membantu membaiki premis yang rosak sehinggalah kepada membaiki kenderaan bermotor yang ditenggelami banjir. 

“Bahkan ada juga yang membantu membina semula rumah yang hampir musnah akibat banjir pada kali ini. Perkhidmatan yang dihulurkan melalui Khidmat Malaysia oleh PAS ini telah banyak membantu mangsa-mangsa banjir dan menjadi pelengkap kepada usaha Kerajaan Keluarga Malaysia dalam memastikan kebajikan mangsa-mangsa banjir terpelihara. 

“Terima kasih kepada semua yang terlibat, semoga usaha kita bersama diganjari sebagai amal soleh di sisi Allah S.W.T dan usaha sebegini semoga dapat diteruskan pada masa akan datang insya-Allah,” rakamnya.

Antara turut bersama adalah Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu serta Yang Dipertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus dan ramai lagi. – HARAKAHDAILY 10/1/2022

- Advertisement -