4,400 pendatang hilang di laut ketika cuba memasuki Sepanyol pada 2021

- Advertisement -

BARCELONA: Lebih 4,400 pendatang, termasuk sekurang-kurang 205 kanak-kanak hilang di laut ketika cuba memasuki Sepanyol, tahun lalu.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Walking Borders, yang memantau kemasukan pendatang melalui jalan laut, melaporkan jumlah itu bertambah sekali ganda berbanding tahun sebelum ini.

- Advertisement -

Walking Borders atau Caminando Fronteras menyatakan, jumlah kehilangan pendatang tahun lalu juga adalah paling tinggi sejak kumpulan mengumpul data berhubung aktiviti pendatang pada 2018.

Kumpulan itu menyalahkan peningkatan laluan yang bahaya, keadaan bot usang dan kebimbangan pengendali bot atau kapal lain menolong pendatang apabila kejadian bot karam berlaku sebagai punca peningkatan kehilangan pendatang.

Mengikut statistik pihak berkuasa Sepanyol, kira-kira 39,000 pendatang yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri berjaya tiba di Sepanyol melalui jalan laut atau darat pada tahun lalu, iaitu jumlah yang hampir sama pada tahun sebelum ini.

Walking Borders menyatakan bahawa lebih 90 peratus daripada mereka yang hilang atau mati membabitkan 124 bot karam yang melalui Kepulauan Canary di Lautan Atlantik.

Sejak dua tahun lalu, kepulauan berhampiran pantai Afrika itu menjadi destinasi utama pendatang untuk tiba di Sepanyol. Hanya sebilangan kecil cuba melintasi Laut Mediterranean yang kini dikawal lebih ketat.

Pengasas Walking Borders, Helena Maleno, berkata data kehilangan atau kematian pendatang diperolehi melalui talian khas yang diwujudkan bagi membolehkan pendatang dalam bot bermasalah mendapatkan bantuan atau ahli keluarga pendatang yang mahu mendapatkan maklumat.

Kumpulan itu yang menyiasat nasib setiap bot menganggap setiap pendatang yang hilang di laut sekurang-kurang sebulan sebagai mati.

Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) pula menyatakan 955 orang mati atau hilang pada tahun lalu ketika cuba tiba di Kepulauan Canary, iaitu jumlah tertinggi sejak didokumentasi pada 2014.

IOM, sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapat maklumat berdasarkan rekod rasmi, laporan media dan kumpulan lain termasuk Walking Borders, tetapi menyatakan angka itu sebagai konservatif dengan jumlah sebenar mungkin lebih tinggi. – REUTERS

- Advertisement -