Bantuan Khidmat Malaysia selaras hasrat Keluarga Malaysia

Muhamat Puhat Bedol
- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

ALOR GAJAH:
Pengerusi Khidmat Malaysia (KM) Melaka, Muhamat Puhat Bedol menyifatkan misi bantuan banjir yang berlangsung di Temerloh pada Sabtu hingga Isnin lepas memenuhi hasrat Keluarga Malaysia.

Menurutnya, bantuan KM Melaka kepada mangsa diberi tanpa mengira kaum dan agama, justeru membuktikan PAS tidak memilih bulu dan tidak hanya berkhidmat untuk orang Islam seperti persepsi sesetengah pihak.

- Advertisement -

“Semua bangsa (mangsa banjir) berada dalam keadaan tertekan dan mereka memerlukan perhatian, memerlukan nasihat untuk ditenangkan.

“Sebab dari segi kehilangan itu sama rata dengan kita. Tak kira bangsa, tak kira agama, mereka kehilangan (kemusnahan akibat banjir). Jadi kehadiran kita itu sedikit sebanyak menampakkan bayangan ‘Keluarga Malaysia’ itu ada,” ujarnya

Sehubungan itu, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah KM Melaka yang terlibat di dalam misi itu, antaranya Jabatan Amal Malaysia (JAM) negeri, Ameerah negeri, Persatuan Amal Barakah, Musmedik, PASTI negeri, Pertubuhan Alumni (IPT) Negeri Melaka, Pertubuhan Ittihad Annur, Kelab Seni Budaya dan Sukan, Sahabat Masjid Negeri Melaka, Keluarga Prihatin Sejahtera, Pertubuhan Wanita Islam Milenia (PERWIM).

“Ini pertama kali kami digabungkan banyak NGO. Dan pertama kali kita dapat tenaga daripada mahasiswa. Dan mereka bersedia untuk turun di lapangan. Kita akan ‘ikat’ mereka ini dari segi hubungan dengan mereka.

“Pada masa akan datang kita akan gunakan juga khidmat mereka sebagai sukarelawan Khidmat Malaysia ataupun jadikan mereka sebagai anggota JAM bagi lelaki dan yang perempuan masukkan dalam Ameerah,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily semasa kunjungan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff ke bilik operasi KM Melaka di Durian Tunggal, malam tadi.

Pada pertemuan itu, Zailah yang mesra dengan panggilan Kak Lah turut menyampaikan sumbangan dana bagi membolehkan KM Melaka membuka bilik operasi bencananya sendiri.

Puhat turut menzahirkan penghargaan di atas bantuan yang diberikan itu bagi melicinkan lagi pengurusan operasi bantuan bencana.

“Alhamdulillah, kehadiran beliau banyak memberikan penerangan yang lebih jelas untuk hala tuju Khidmat Malaysia, khasnya di Negeri Melaka ini untuk terus bergerak membantu dalam apa saja bencana yang dihadapi oleh rakyat.

“YB Kak Lah juga ada memberikan sumbangan untuk meningkatkan kecekapan operasi kami. Insya-Allah akan digunakan dengan cara yang betul kerana sebelum ini kami memang tidak ada bilik operasi yang khusus,” ujarnya lagi.

Tambah beliau lagi, Bilik Operasi KM negeri bakal dibuka di Pejabat PAS Semabok sementara bilik-bilik operasi peringkat kawasan juga akan dibuka di kawasan-kawasan yang terjejas dengan banjir. – HARAKAHDAILY 4/1/2022

- Advertisement -