Lelaki bersenjata bunuh 4 orang, cederakan 3 orang

- Advertisement -

DENVER: Seorang lelaki bersenjata menembak mati empat orang dan mencederakan tiga orang lain, termasuk seorang pegawai polis selepas bertindak melepaskan tembakan terbuka di beberapa lokasi bandar ini sebelum polis menembak mati suspek.

Dalam kejadian bermula jam 5 petang Isnin lalu, penyiasat belum menentukan motif amukan itu apabila lelaki terbabit menembak mati dua wanita dan mencederakan seorang lelaki di pusat bandar ini, kata Ketua Polis, Paul Pazen.

- Advertisement -

Suspek kemudian melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan dan menembak mati seorang lelaki di kejiranan Cheesman Park di timur bandar ini, sebelum melepaskan lagi tembakan di komuniti barat Denver yang tidak mengenai sesiapa.

Menurut Pazen, suspek juga melepaskan tembakan sebanyak dua kali menyebabkankan kenderaan polis yang cuba mengejarnya rosak.

Dari situ, lelaki terbabit memandu kenderaannya ke kejiranan Lakewood dan menembak mati mangsa keempat di sebuah bangunan perniagaan, kata jurucakap Polis Lakewood, John Romero.

Romero berkata, lelaki terbabit kemudian melarikan diri, tetapi terbabit dalam kejadian tembak menembak dengan anggota polis menyebabkannya meninggalkan kenderaan dan berjalan kaki memasuki sebuah hotel, lalu menembak dan mencederakan seorang kerani hotel itu.

Bagaimanapun, pegawai polis Lakewood dapat mengesan penyerang itu ketika dia bergerak ke lokasi lain.

“Berbalas tembakan sekali lagi dengan anggota dan dalam kes ini, penyerang ditembak mati,” kata Romero sambil menambah bahawa penyerang disahkan mati di tempat kejadian, manakala seorang pegawai polis turut mengalami kecederaan.

Seorang wanita yang berada dalam sebuah kedai menjual telefon bimbit di Lakewood ketika kejadian itu berlaku memberitahu sebuah stesen televisyen bahawa dia mendengar tujuh atau lapan bunyi tembakan, diikuti jumlah yang sama atau lima tembakan.

Katanya, dia dan pelanggan lain kemudian segera diminta berlindung di bilik belakang kedai itu sehingga kejadian itu berakhir. – REUTERS/AFP

- Advertisement -