PKPD: PAS Teluk Intan sumbang ikan, sayur segar

- Advertisement -

TELUK INTAN: PAS Kawasan Teluk Intan telah memberikan bantuan makanan berupa sayuran dan ikan segar kepada penduduk yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Jawa, Ayer Hitam di sini kelmarin dulu.

Timbalan Yang Dipertua PAS Teluk Intan, Rostam Malek berkata, sumbangan digerakkan Dewan Muslimat dan Lajnah Kebajikan PASTeluk Intan bagi meringankan beban penduduk tersebut yang sedang dikenakan PKPD bermula 18 sehingga 31 Disember ini.

- Advertisement -

“PAS Teluk Intan amat prihatin dengan penduduk yang dikenakan PKPD (ini). Sudah pasti mereka mengalami pelbagai kesukaran. Semoga dengan sumbangan sayur dan ikan segar (ini) dapat mengurangkan kepayahan penduduk untuk mendapatkan sumber makanan yang baik,” ujarnya. 

Tambah beliau, pihaknya amat menghargai sokongan dan sambutan warga Teluk Intan yang telah turut sama menyumbang dalam kempen ‘sekilo ikan sebuah rumah’ sehingga terlaksananya hasrat PAS Teluk Intan untuk menjayakan bantuan ini. 

Dalam sesi penyerahan itu, barangan sumbangan tersebut telah diserahkan kepada wakil pasukan barisan hadapan yang bertugas di lokasi utama pusat operasi kawasan PKPD tersebut iaitu Leftenan (PA), Muhd Arif Zainal Arifin.

“Sejumlah 90 rumah telah dikenakan PKPD di sini setelah lebih 60 penduduk kampung dijangkiti COVID-19. Sesi pengedaran makanan kepada penduduk dilakukan sebanyak dua kali sehari sepanjang tempoh PKPD iaitu pada jam 12 tengah hari dan 4 petang. 

“Setakat ini, alhamdulillah bekalan makanan (dan) minuman mencukupi untuk semua penduduk sehingga tamat tempoh PKPD. Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada PAS Teluk Intan atas sumbangan dan usaha membantu meringankan beban penduduk di sini,” ujar Muhd Arif.

Turut hadir dalam menyampaikan sumbangan pagi itu, Ketua Muslimat, Robi’atun Mohd Abas dan Penolong Setiausaha, Zamzuri Din serta dan Pengerusi Persatuan Pertubuhan Wanita Prihatin Teluk Intan (PERWATIN), Noor Saadah Abas. – HARAKAHDAILY 25/12/2021

- Advertisement -