17,592 majikan tidak sediakan penginapan mengikut Akta 446

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Sebanyak 17,592 majikan (46.71 peratus) dikesan tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) kerana tidak menyediakan penginapan pekerja mengikut spesifikasi ditetapkan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Awang Hashim, berkata jumlah itu adalah berdasarkan pemeriksaan terhadap 37,662 majikan yang melibatkan 152,652 tempat penginapan yang didiami oleh 1,030,426 pekerja setakat 30 November lalu.

- Advertisement -

Daripada keseluruhan jumlah pekerja, katanya 957,316 adalah pekerja asing dan 73,110 pekerja tempatan.

“Mengikut Akta 446, majikan dan penyedia penginapan juga diwajibkan menyelenggarakan kebersihan selari dengan Recommendation 115 (Workers Housing Recommendation,1961) Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Mengikut Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Pekerja yang dikehendaki untuk disediakan dengan penginapan) 2021 Perkara 2(1), majikan yang menggajikan pekerja asing, diwajibkan menyediakan penginapan kepada semua pekerja berkenaan,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan tahap pematuhan majikan terhadap Akta 446 (Pindaan 2019) dan langkah yang diambil bagi memastikan majikan yang menggajikan pekerja asing mematuhi Akta 446.

Mengulas tindakan yang diambil terhadap majikan yang tidak patuh, Awang berkata 13,085 majikan (74.38 peratus) diberikan arahan pematuhan, 3,289 majikan (18.7 peratus) dikenakan arahan baiki dan tambah baik, manakala 49 majikan (0.28 peratus) diarahkan memindahkan pekerja.

Katanya, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia juga membuka 1,169 kertas siasatan, selain mengeluarkan 817 kompaun, manakala tindakan pendakwaan sebanyak 134 kes. – HARAKAHDAILY 22/12/21

- Advertisement -