Ketua Dewan Muslimat PAS angkat sumpah Ahli Dewan Negara

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Hajah Nuridah Mohd Salleh, mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara, hari ini.

Beliau yang dipilih semula oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, mengangkat sumpah bersama dua lantikan baharu, iaitu Senator Noraini Idris yang dipilih oleh DUN Sabah dan Dato’ Seri Zurainah Muda yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

- Advertisement -

Nuridah, 60, yang berasal dari Pekan, Pahang, adalah lulusan Universiti Malaya dalam bidang Usuluddin dan Diploma Pendidikan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Ijazah Perubatan Islam Darussyifa’.

Sementara itu Yang Di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata pelantikan Senator Hajah Nuridah berkuat kuasa mulai 29 November lalu.

Katanya, pelantikan Senator Noraini berkuat kuasa mulai 10 Disember ini, manakala Senator Dato’ Seri Zurainah, berkuat kuasa mulai 22 Disember ini.

Beliau menasihat tiga Yang Berhormat supaya menggalas tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin dan menunaikan segala sumpah yang telah dilafazkan dengan penuh amanah kerana Dewan Negara ketika ini sedang melalui fasa transformasi.

“Ini memerlukan penglibatan aktif Senator secara menyeluruh agar peranan Dewan Negara yang mulia ini dalam memperjuangkan suara rakyat menjadi tersohor serta dihormati,” katanya.

Menurutnya, pelantikan tiga Senator hari ini, yang secara kebetulan semua wanita, menjadikan jumlah ahli Dewan Negara wanita seramai 10 orang, iaitu bersamaan 18 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli Dewan Negara.

Katanya, wanita merupakan sumber potensi yang semakin penting serta mampu memikul amanah sebagai pemimpin dan dalam ekonomi yang pesat membangun dan menghadapi kekurangan tenaga mahir, soal gender tidak menjadi suatu isu.

Malah, katanya ahli Dewan Negara wanita berjaya memegang jawatan kepimpinan berdasarkan merit dan keupayaan mereka menggunakan kepakaran masing-masing seperti yang digariskan dalam Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan.

“Wanita kini perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi segala bentuk cabaran bagi membolehkan mereka memberi sumbangan bakti dan berupaya memainkan peranan yang diharapkan oleh kerajaan dan masyarakat.

“Tidak dapat dinafikan bahawa sumbangan dan sokongan wanita diperlukan dalam membangunkan masyarakat dan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, transformasi yang sedang dilaksanakan di Dewan Negara memerlukan setiap ahli Dewan Negara mempunyai senarai tugas yang perlu dilunaskan dan hasilnya akan dinilai bagi mengukur sejauh mana pencapaian mereka.

Kataya, ahli Dewan Negara mesti seiring dengan agenda membaharui tekad dan langkah, serta tindakan sebagai seorang Senator kerana kegagalan melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan menyebabkan rakyat akan menghakimi mereka.

“Dalam konteks itu juga, marilah kita bersama-sama memperkecilkan peranan politik di dalam Dewan Negara dan memperbesarkan peranan negara kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/12/21

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!