Kerajaan perlu elak pembaziran terus berlaku

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan seharusnya mempunyai tekad untuk mengurangkan dan mengelakkan pembaziran daripada terus berlaku saban tahun.

Senator Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, berdasar laporan Ketua Audit Negara 2019 sebanyak RM620.07 juta dibazirkan pada 2019 yang melibatkan pembayaran tidak teratur, kerugian wang awam dan pembaziran.

- Advertisement -

Oleh itu, katanya kerajaan hendaklah meningkatkan tahap kecekapan dan ketelusan menguruskan wang negara.

Katanya, urusan tersebut merupakan amanah yang akan dipersoal di hari akhirat kelak.

“Sedangkan dengan jumlah tersebut, banyak perkara yang boleh memberi manfaat kepada rakyat dapat kita laksanakan,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Menurutnya, Laporan Ketua Audit Negara juga menyatakan hutang Persekutuan pada 2020 berjumlah RM879.560 bilion, iaitu 62.1 peratus berbanding Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Sedangkan pada 2020, katanya pinjaman baharu berjumlah RM194.555 bilion berbanding RM138.559 bilion pada tahun 2019, iaitu meningkat sejumlah RM55.996 bilion atau 40.4 peratus.

Beliau berkata, daripada pinjaman baharu berjumlah RM194.555 bilion, sebanyak RM98.058 bilion (50.4 peratus) diguna hanya untuk bayaran balik prinsipal pinjaman yang matang.

“Ini menunjukkan kebergantungan yang tinggi kerajaan terhadap pinjaman baharu untuk membiayai bayaran balik prinsipal pinjaman yang matang.

“Dalam jangka masa panjang, bebanan kewangan negara akan bertambah untuk pembayaran kos pinjaman menyebabkan peruntukan belanjawan mengurus dan perkhidmatan serta pembelian aset akan berkurangan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak bersederhana dalam segenap aspek dan memfokuskan perkara benar-benar penting dilunaskan terlebih dahulu sebelum agenda kurang penting. – HARAKAHDAILY 15/12/21

- Advertisement -