Usah ghairah desak diadakan PRU lebih awal

Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan Dato' Hassan Mohamood menyampaikan Skim Kifalah dan khairat kematian di Dewan Utama Kompleks Masjid Daruttarbiyah Wakaf Zin, hari ini.
- Advertisement -

BACHOK: Desakan pihak tertentu untuk mempercepatkan Pilihan Raya Umum Ke-15 dianggap tidak sesuai diadakan ketika negara berhadapan penularan varian baru Covid-19, Omicron.

Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan Dato’ Hassan Mohamood berkata, desakan itu dianggap tidak sesuai dengan situasi yang berlaku sekarang.

- Advertisement -

Menurutnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha melakukan pemulihan ekonomi kerana kesan pandemik Covid-19 sangat besar terhadap kehidupan rakyat.

“Ketika ini semua parti politik perlu bersama kerajaan menumpukan usaha untuk meningkatkan ekonomi rakyat, tidak perlu pilihan raya lagi kerana ekonomi masih belum pulih.

“Jadi kita harap pemimpin Umno usah ghairah sangat mendesak supaya diadakan PRU ke-15 lebih awal selepas parti itu menang dua pertiga di Melaka baru-baru ini,” katanya selepas majlis penyampaian Skim Kifalah dan khairat kematian di Dewan Utama Kompleks Masjid Daruttarbiyah Wakaf Zin, hari ini.

Pada November lepas Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan dilapor mencadangkan supaya PRU-15 perlu dipertimbang untuk diadakan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia Dato’ Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob perlu diberi peluang membawa lebih banyak perubahan kepada rakyat.

Manakala Ahli Parlimen Padang Rengas, Dato’ Seri Nazri Abdul Aziz pula menyifatkan PRU tidak perlu diadakan lebih awal mengambil kira sokongan terhadap perdana menteri masih stabil.

Ia dibuktikan apabila Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) Perjanjian Malaysia 1963 dilulus dengan sokongan lebih dua pertiga ahli parlimen.

Hassan yang juga Adun Tawang berkata, pemimpin politik jangan hanya memikirkan kepentingan politik semata-mata, sebaliknya memberi tumpuan kepada peningkatan ekonomi rakyat dan sistem kesihatan.

“Apa yang kita lihat Umno ghairah mahu PRU diadakan lebih awal setelah menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/12/2021

- Advertisement -