Langkah mengundur batal warga KPM terlibat politik

- Advertisement -

SABDA Nabi S.A.W:

- Advertisement -

كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأَنْبِيَاءُ كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيُّ, وَإِنَّهُ لَا نَبِيَ بَعْدِي وَسَتَكُونُ خُلَفَاءُ تَكْثُر

“Adalah bagi Bani Israil, mereka ditadbir urus oleh para Nabi. Ketika mana seorang Nabi wafat, Nabi yang lain datang menggantinya. Walau bagaimanapun tidak ada Nabi setelahku, namun akan ada ramai para khilafah yang mentadbir urusan umat Islam.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Setelah 70 tahun PAS berada di persada politik tanah air, pelbagai pahit maung telah ditempuhi pimpinan dan ahli. Dalam tempoh itu juga lahirnya tokoh-tokoh negarawan dan tidak sedikit ianya berlatar belakangkan profesion pendidikan.

Pembatalan kebenaran Kementerian Pendidikan Malaysia terhadap kebenaran anggota kerja KPM dalam politik, termasuk memegang jawatan parti di semua peringkat dilihat langkah mengundur ke belakang.

Jika perkara ini dihalang, alangkah ruginya negara dan terbantutnya pergerakan para tenaga KPM yang mempunyai idea dan daya fikir mengurus negara yang lebih baik.

Para cerdik pandai dan mereka yang berkebolehan seharusnya tidak diikat dengan peraturan yang merugikan. Apa lagi sekiranya penglibatan mereka tidak mengganggu perkhidmatan.

Atas justifikasi semua rakyat dileluasa mengundi, dan yang terbaharu seawal usia 18 tahun dibenarkan memilih pemimpin untuk membentuk kerajaan mentadbir negeri dan negara, apakah relevan sekiranya sekatan dibuat kepada sekelompok warga KPM dalam berpolitik, yang sebahagian besarnya untuk kepentingan negara?

Politik adalah penentu kepada kepimpinan urusan rakyat dan negara. Islam sama sekali tidak menyekat kemaraan berfikir dan berpakat untuk kebaikan, apa lagi urusan politik bernegara.

Jika salah lakunya anggota KPM atau mana-mana anggota kerja, hukumlah mereka atas kesalahan yang dilakukan bukan dengan menyekat kebebasan yang sebahagian besarnya diperlukan untuk kemakmuran bersama dalam mentadbir keluarga Malaysia. Salam hormat.

MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 14/12/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/269683628139/posts/10159981556748140/

- Advertisement -