Sasar Pahang jadi penyumbang utama KDNK negara

Belanjawan 2022 Pahang capai RM1 bilion

- Advertisement -

KUANTAN: Pahang diharap mampu menjadi peneraju utama yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dalam tiga tahun dari sekarang, demikian disuarakan Andansura Rabu (PAS-Beserah).

- Advertisement -

Menurut beliau, Belanjawan Pahang dengan anggaran perbelanjaan RM1 bilion telah dihasratkan sejak lima tahun lalu dan akhirnya menjadi realiti pada tahun 2022 ini di sebalik cabaran penguncupan ekonomi global.

“Walaupun dalam pelbagai keadaan dan kemelut yang berlaku (tetapi) masih mempunyai keazaman tinggi untuk memberikan pulangan yang baik kepada rakyat negeri Pahang.

“Melalui hasil usaha untuk meningkatkan pendapatan negeri dan juga mensejahterakan kehidupan rakyat,” ujar beliau membahas Belanjawan 2022 Pahang pada Persidangan DUN di Wisma Sri Pahang, di sini minggu lalu.

Beliau berkongsi maklumat dengan Ahli Dewan bahawa 72 peratus KDNK negara ketika ini disumbangkan Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor, Sarawak dan Sabah di mana berharap Pahang akan menyertai negeri tersebut.

Keyakinan beliau itu disandarkannya kepada peningkatan jumlah eksport Pahang ketika nilai dagangan Malaysia berkurang 3.6 peratus antara tahun 2019 dan 2020 serta nilai eksport negara mengalami penguncupan 1.4 peratus.

“Pahang mencatat peningkatan 13.5 peratus. Ini pencapaian yang kita rasa miracle ataupun satu perkara yang luar jangka. Disumbangkan sebahagian besarnya dari eksport besi dan keluli,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang menegaskan, agar tercapai matlamat dari lima strategi digariskan dalam Belanjawan tersebut, maka segala perancangan mesti dilaksana dengan baik dan pantas.

Andansura menyentuh strategi berkaitan memenuhi keperluan asas rakyat meliputi makan dan minum, pakaian dan juga tempat tinggal di mana berlakunya isu-isu yang perlu diberi perhatian untuk ditangani pihak kerajaan.

Katanya, walaupun Pahang menawarkan skim Rumah Rakyat Pahang, Rumah PR1MA Pahang dan Rumah Makmur Pahang, tetapi masih tidak mampu memenuhi keperluan semasa di mana masih ramai rakyat tidak memiliki rumah.

Untuk itu beliau mencadangkan supaya kerajaan mengkaji untuk menawarkan rakyat yang berkelayakan satu lot tanah bagi membina kediaman di mana turut dikemukanya beberapa isu kependudukan dalam DUN diwakilinya.

Turut diketengahkan beliau isu makan minum di mana kini sedang berlaku kenaikan harga barang harian sehingga 200 peratus berpunca daripada orang tengah yang memerlukan bebanan ini segera diatasi.

Andansura turut memuji peruntukan kerajaan untuk menaik taraf perkhidmatan perpustakaan di negeri ini yang diharapnya juga akan lebih banyak perpustakaan desa ditambah termasuk naik taraf kepada virtual library. – HARAKAHDAILY 14/12/2021

- Advertisement -