Kementerian Pendidikan bangunkan sistem lapor kes buli

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang merangka sistem pelaporan yang membolehkan warga sekolah, murid dan ibu bapa membuat aduan terus mengenai kes buli kepada KPM.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata sistem berkenaan juga memastikan segala maklumat berhubung pelaporan buli yang diterima akan dilindungi.

- Advertisement -

“KPM juga menyediakan Garis Panduan Mencegah dan Menangani Perbuatan Buli Dalam Kalangan Murid di Sekolah dan Buku Panduan Pengurusan Menangani Buli di Sekolah sebagai panduan kepada pihak sekolah.

“KPM akan terus menambah baik sistem pelaporan kes buli bagi memastikan pendekatan yang terbaik dapat dibangunkan,” katanya menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Dr Radzi, KPM juga sedang meneliti hukuman ke atas murid yang melakukan perbuatan buli dengan membuat penambahbaikan terhadap hukuman yang tersenarai dalam Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 8/2010.

Katanya, tindakan itu bagi memastikan hukuman yang dikenakan adalah setimpal dan menjadi pendekatan pencegahan yang berkesan.

Beliau berkata, sebagai tindakan segera, KPM mengarahkan semua sekolah melaksanakan program kesedaran bersama Pegawai Perhubungan Sekolah dari Polis Diraja Malaysia mengenai buli dalam minggu pertama sesi penggal ketiga pada Januari 2022. – HARAKAHDAILY 14/12/2021

- Advertisement -