Kesan drama LGBT ‘Demi Tuhan Aku Bersaksi’

- Advertisement -

DRAMA yang sedang hangat diperkatakan oleh rakyat Malaysia hari ini. Drama arahan Fadzil Zahari mencetuskan pelbagai reaksi dan menerima macam-macam komen dari netizen.

- Advertisement -

PAS Johor sangat memandang serius isu ini kerana ianya memberi impak besar terhadap masyarakat dan anak muda. Jika tidak dikawal dan dibendung akan mencipta kemusnahan akhlak yang jauh lebih parah dari sangkaan.

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-A’raf ayat 80 hingga 84:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ ﴿٨٠﴾ إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ ﴿٨١﴾ وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَن قَالُوا أَخْرِجُوهُم مِّن قَرْيَتِكُمْ ۖ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ ﴿٨٢﴾ فَأَنجَيْنَاهُ وَأَهْلَهُ إِلَّا امْرَأَتَهُ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ ﴿٨٣﴾ وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِم مَّطَرًا ۖ فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُجْرِمِينَ.

“Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”. Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: “Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri”. Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan. Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.”

Dengan niat untuk menonjolkan realiti kehidupan di Malaysia dengan harapan memberi pengajaran mungkin dilihat mulia tetapi kita tidak berkuasa mengawal ‘damage’. Kita tidak tahu aksi atau bahan yang diambil penonton untuk ditiru sama ada kebaikan atau keburukan.

Drama ini juga memaparkan aksi songsang dan tidak senonoh yang akan menjadi ikutan pelajar dan anak muda. Ia mungkin sedikit sebanyak memberi idea untuk mereka yang ada kecenderungan ke arah itu untuk terjebak dengan perkara terkutuk tersebut.

Islam telah menyediakan garis panduan berkenaan dakwah atau tarbiah yang jelas. Semua yang ditetapkan oleh agama telah mengambil kira semua sudut dan kemungkinan. Mengelakkan berlakunya perkara-perkara syubhah dan maksiat ketika melakukan aktiviti dakwah.

Islam juga menolak sebarang kerja makruf yang bercampur dengan kemungkaran. Tiada alasan seperti itu dibenarkan dalam agama kerana yang haram itu jelas dan halal juga jelas.

Sehubungan itu, PAS Johor menyarankan kepada penggiat drama dan filem tempatan supaya sentiasa berhati-hati dalam kekreatifan mereka kerana mungkin akan mendatangkan musibah kepada penonton dan negara.

PAS Johor juga menggesa kepada semua yang terlibat termasuk FINAS dan kerajaan menarik balik kebenaran tayangan yang telah diberikan demi menjaga kesucian agama Islam dan nilai murni tatasusila Melayu yang kita junjung selama ini.

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan
Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ) – HARAKAHDAILY 13/12/2021

- Advertisement -