MP Jerai mohon klinik kesihatan di Yan

Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit, memohon kerajaan supaya membina sebuah klinik kesihatan di Yan yang menyediakan perkhidmatan pesakit luar dan ibu anak.

Menurutnya, permintaan itu dibuat bagi memberikan keselesaan kepada penduduk daerah Yan untuk mendapatkan rawatan yang ketika ini hanya bergantung kepada Hospital Yan.

- Advertisement -

Sehingga kini, katanya masih belum wujud klinik kesihatan yang menyediakan perkhidmatan unit pesakit luar, kecuali di Mukim Sala Besar dan Mukim Sungai Daun dalam Parlimen Jerai, manakala klinik ibu dan anak hanya ada di Kampung Ruat.

“Semua pesakit penyakit kronik unit pesakit luar terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Yan. Namun begitu, disebabkan pandemik Covid-19, pihak pengurusan hospital telah menutup unit pesakit luar.

“Ini menyebabkan pesakit di Mukim Yan terpaksa menerima rawatan di Klinik Sungai Limau Dalam dan Mukim Sungai Daun yang serba kekurangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Sabri mencadangkan kerajaan membina sebuah bangunan baharu di Hospital Yan untuk kegunaan Unit Pemulihan Cara Kerja bernilai RM2.5 juta.

Katanya, pembangunan itu bertujuan mewujudkan ruang rawatan dan ruang kerja yang selamat untuk pesakit dan juga staf.

“Selain itu, saya mencadangkan mewujudkan ruang yang selamat untuk penyimpanan dokumen dan rekod pesakit,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/12/2021

- Advertisement -