Hentikan polemik Mandi Safar

ISLAM pada asasnya merupakan agama yang meraikan adat, tradisi dan kebudayaan manusia. Selagi mana adat, tradisi dan kebudayaan tersebut tidak bertentangan dengan akidah dan syariat, maka ia bebas untuk diamalkan. Namun jika sebaliknya, ia mesti ditinggalkan atau diletakkan garis panduan.

Inilah yang ditunjukkan oleh Nabi S.A.W ketika Baginda berhadapan dengan masyarakat jahiliyyah yang bergelumang dengan bermacam perkara syirik dan khurafat dalam adat dan tradisi mereka.

Advertisement

Demikian juga dalam sesetengah adat, tradisi dan kebudayaan masyarakat Melayu, terdapat sebahagiannya yang perlu dihentikan kerana bertentangan dengan akidah Islam. Mandi Safar adalah antara tradisi yang sekian lama diamalkan oleh masyarakat Melayu atas kepercayaan menolak bala pada bulan Safar, khususnya pada hari Rabu terakhir bulan tersebut.

Walau bagaimanapun, dengan dakwah dan usaha gigih para ulamak terdahulu, masyarakat semakin meninggalkan tradisi berkenaan sehingga ia menjadi begitu asing untuk diamalkan. Kini, jabatan-jabatan agama negeri hanya merekodkan beberapa kes Mandi Safar yang dikategorikan terpencil. Ini menunjukkan umat Islam sudah mula memahami agama secara sahih dan berfakta. Bukan sekadar mengikut tradisi semata-mata.

Beberapa jabatan mufti telah pun mengeluarkan fatwa khusus atau irsyad hukum berkenaan Mandi Safar seperti Jabatan Mufti Sabah dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Fatwa atau irsyad hukum tersebut lebih kepada memberi tahzir (amaran) dan penerangan kepada masyarakat. Walaupun pada hakikatnya Mandi Safar tidak lagi memerlukan fatwa memandangkan ia adalah perkara khurafat yang jelas bertentangan dengan agama.

Di peringkat kebangsaan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Bil. 3/40/96 yang bermesyuarat pada 7-9 Ogos 1996 telah meluluskan Garis Panduan Khurafat dan Azimat JAKIM yang memasukkan Mandi Safar sebagai salah satu perbuatan khurafat. Garis Panduan ini telah menjadi rujukan kepada semua jabatan agama negeri dalam mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap sebarang bentuk kegiatan khurafat yang berlaku di negeri masing-masing.

Justeru, saya menyeru kepada semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat berkenaan kedudukan Mandi Safar. Adalah berpada bagi kita sebagai pendakwah atau ilmuwan agama untuk menjelaskan kekhurafatan Mandi Safar menerusi Hadis Baginda S.A.W yang masyhur:

لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ

“Tidak ada penyakit berjangkit (dengan sendiri), tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan Safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”

(Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim (2220))

Al-Munawi menukilkan pandangan al-Baidhawi mengenai Safar yang mengatakan ia ditafsirkan sebagai satu penafian kepada kepercayaan yang mengatakan bahawa bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya fitnah. Rujuk Faid al-Qadir syarh al-Jami’ al-Saghir (6/433)

Ibn Rajab al-Hanbali menukilkan, antara pendapat ulamak mengenai Safar adalah kepercayaan masyarakat Arab Jahiliyyah akan berlaku perkara buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menggelar bulan Safar sebagai bulan sial. Maka Nabi S.A.W menolak kepercayaan demikian. Pandangan ini dinukilkan oleh Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid al-Makhuli. Rujuk Lataif al-Ma’arif fi ma li mawasim min al-Wazaif (m/s 135-136)

Berdasarkan keterangan di atas, ia menunjukkan amalan Mandi Safar yang berasaskan kepercayaan bulan Safar sebagai bulan pembawa musibah atau bala adalah bertentangan dengan penafian Rasulullah S.A.W dalam Hadis tersebut. Maka menjadi tanggungjawab semua pihak sama ada pihak berkuasa agama mahupun para pendakwah untuk bekerjasama bagi memastikan perkara ini dapat dibanteras sebaiknya.

Pada masa yang sama, sebarkan kepada masyarakat iktikad yang benar mengenai musibah dan bala bencana. Ia tidak berlaku disebabkan kesialan tahun, bulan, minggu, hari atau masa yang tertentu, tetapi dengan kehendak dan izin Allah S.W.T. Firman-Nya dalam surah al-Taghabun ayat 11:

مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ ۗ وَمَن يُؤْمِن بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ ۚ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ ‎﴿١١﴾ 

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Apa yang penting sebarkan doa-doa Rasulullah S.A.W yang boleh dibaca setiap hari bagi menolak sebarang musibah dan bala bencana. Antaranya seperti Hadis Riwayat Uthman bin Affan, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

مَنْ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ، فِي الْأَرْضِ، وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ، حَتَّى يُصْبِحَ، وَمَنْ قَالَهَا حِينَ يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُمْسِيَ

“Sesiapa yang membaca:

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

“(Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui) sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga Subuh. Dan barangsiapa yang membacanya ketika Subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).””

 [Riwayat Abu Daud (5088)] [Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’uth Hadis ini adalah hasan]

Semoga semua kita diberi hidayah dan sentiasa dalam peliharaan Allah S.W.T.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY 
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
29 November 2021 – HARAKAHDAILY 29/11/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100050311487174/posts/454241879596191/