Omicron merebak di seluruh dunia

Orang ramai dirakam sebelum menaiki penerbangan Air France ke Paris di Lapangan Terbang Antarabangsa OR Tambo, Johannesburg, Afrika Selatan pada 26 November 2021. (FOTO AP)

LONDON: Varian baharu Covid-19, Omicron yang mula merebak di seluruh dunia pada Ahad (28 Nov), dengan kes baharu ditemui di Belanda, Denmark dan Australia walaupun lebih banyak negara mengenakan sekatan perjalanan untuk menghalang penularannya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, masih belum jelas sama ada Omicron (atau sebelum ini dikenali sebagai B.1.1.529) yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan, lebih mudah berjangkit berbanding varian lain, atau jika ia boleh menyebabkan penyakit yang lebih teruk kesannya.

Advertisement

“Data awal menunjukkan bahawa terdapat peningkatan kadar kemasukan ke hospital di Afrika Selatan, tetapi ini mungkin disebabkan peningkatan jumlah keseluruhan orang yang dijangkiti, bukannya akibat jangkitan tertentu,” kata WHO dalam satu kenyataan.

Menurut WHO lagi, proses untuk memahami tahap kritikal Omicron  ‘akan mengambil masa beberapa hari hingga beberapa minggu’.

Pengesanan Omicron mencetuskan kebimbangan global terhadap kemungkinan varian itu boleh mengatasi pertahanan vaksinasi dan kembali menambahkan kes jangkitan baharu Covid-19, lapor Reuters.

Dalam kenyataannya, WHO juga berkata ia sedang bekerjasama dengan pakar teknikal untuk memahami potensi impak varian itu terhadap langkah balas sedia ada terhadap Covid-19, termasuk vaksin.

Sehubungan itu, Britain mengumumkan akan mengadakan mesyuarat tergempar menteri kesihatan G7 pada hari Isnin (29 Nov) untuk membincangkan perkembangan itu.

Pihak berkuasa kesihatan Belanda pula berkata, 13 kes varian itu ditemui dalam kalangan individu dalam dua penerbangan yang tiba di Amsterdam dari Afrika Selatan pada hari Jumaat (26 Nov).

Pihak berkuasa negara itu telah menguji kesemua lebih 600 penumpang dalam kedua-dua penerbangan itu dan telah menemui 61 kes positif Covid-19, seterusnya menguji kes itu untuk varian baharu.

Omicron, yang juga digelar sebagai ‘varian kebimbangan’ minggu lalu oleh WHO yang berpotensi lebih cepat menular berbandinf  varian sebelumnya, kini telah telah dikesan di Australia, Belgium, Botswana, Britain, Denmark, Jerman, Hong Kong, Israel, Itali, Belanda dan Afrika Selatan. – HARAKAHDAILY 29/11/2021