KPM guna 3 prinsip asas tentukan pertukaran guru

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan tiga prinsip asas pertukaran guru, iaitu kekosongan jawatan, keperluan opsyen serta kepentingan dan keperluan perkhidmatan.

Timbalan Menterinya, Senator Dato’ Dr Mah Hang Soon, berkata KPM juga mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas bersama Garis Panduan Permohonan Pertukaran Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Sekolah dan Kolej Vokasional untuk memastikan urusan pertukaran guru dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.

- Advertisement -

Katanya, KPM turut membuat penambahbaikan dalam garis panduan itu seperti permohonan pertukaran dibuka sepanjang tahun dan tempoh sah permohonan adalah satu tahun dari tarikh permohonan.

“Permohonan dalam talian pula dibuka kepada semua kumpulan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP), manakala kelulusan pertukaran dilaksanakan sepanjang tahun bagi penyandang jawatan Pengetua atau Guru Besar, Penolong Kanan, Guru Kanan Mata Pelajaran dan Guru Tingkatan 6.

“Kelulusan pertukaran bagi PPP lain dilaksanakan mengikut sesi penggal persekolahan,” katanya menjawab soalan lisan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam soalannya, Wan Hassan meminta Menteri Pendidikan menyatakan rancangan KPM untuk memudahkan urusan permohonan guru yang memohon pertukaran tempat berkhidmat, terutama kepada yang telah lama berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

Hang Soon berkata, keutamaan pertimbangan kelulusan pertukaran adalah kepada PPP yang berkhidmat sekurang-kurangnya lima tahun di negeri Semenanjung atau sekurang-kurangnya tiga tahun di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Jika tiada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen bagi permohonan pertukaran PPP ke negeri yang dimohon, katanya pertimbangan pertukaran akan diberikan kepada negeri pilihan kedua atau ketiga pemohon serta negeri yang berdekatan.

Sementara itu setakat 31 Oktober lalu, katanya sebanyak 97.5 peratus guru sudah lengkap vaksinasi Covid-19, manakala jumlah guru yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin sebanyak 99.04 peratus.

Mengulas mengenai tindakan terhadap guru yang enggan mengambil vaksin, katanya KPM akan berpandukan arahan dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). – HARAKAHDAILY 24/11/21

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -