Polis Kelantan siasat kematian tahanan

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Polis Kelantan membuka kertas siasatan berhubung kematian mengejut seorang tahanan berumur 23 tahun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat, berkata mangsa ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian kenderaan yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

- Advertisement -

Kira-kira jam 2.30 petang hari itu, katanya tahanan terbabit dilihat dalam keadaan bergetar dan mulut berbuih ketika proses rakaman percakapan dan dokumentasi di Pejabat Cawangan Bantuan Teknikal Jabatan Siasatan Jenayah IPK.

“Pegawai dan anggota di situ segera mengejarkan mangsa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mendapatkan rawatan bagi menyelamatkan mangsa yang berada dalam keadaan menggigil dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya selepas bantuan diberikan, Pegawai Perubatan yang bertugas mengesahkan mangsa meninggal dunia.

Shafien berkata, pakar forensik patalogi HRPZ II telah menjalankan bedah siasat pada hari yang sama, tetapi punca sebenar kematian tidak dapat ditentukan.

Katanya, punca kematian mangsa bergantung selanjutnya kepada analisis dan ujian makmal yang akan dilakukan oleh pihak forensik patalogi.

“Polis Kelantan akan menjalankan siasatan secara telus berhubung perkara itu. Saya percaya, analisis serta ujian makmal HRPZ II akan membantu siasatan dan memutuskan punca sebenar kematian mangsa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian berhubung kejadian itu. – HARAKAHDAILY 20/11/21

- Advertisement -