Pengundi PRN Melaka makin bertambah, cuaca cerah

- Advertisement -

MELAKA: Suasana pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tenang dan cerah menjelang tengah hari.

Tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tangga Batu, Sungai Udang mendapati suasana agak meriah dengan kehadiran para pengundi yang semakin bertambah daripada pelbagai peringkat umur.

Setakat jam 12 tengah hari, trafik masih berjalan lancar walaupun agak perlahan di pusat-pusat pengundian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor.

Bagaimanapun, kelihatan anggota keselamatan mengawal kenderaan dengan baik dan memberi keutamaan kepada pengundi golongan tua dan orang kelainan upaya (OKU) untuk memudahkan mereka masuk ke pusat pengundian.

- Advertisement -

Para petugas memastikan pengundi lengkap dua dos vaksin sebelum membenarkan mereka masuk ke pusat pengundian, seterusnya mengimbas kod melalui MySejahtera, diikuti pemeriksaan suhu badan dan sanitasi.

Pengundi akan diminta memastikan saluran undi sebelum dibenarkan masuk membuat pengundian di bilik mengundi.

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN) daripada PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Bakri Jamaluddin menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Tangga Batu, pada jam 9.40 pagi tadi.

Bakri selesai membuang undi pada jam 10 pagi dan terus bertolak ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) tempat beliau bertanding di DUN Kelebang.

Setakat ini, tiada sebarang himpunan atau penyokong dilihat di sekitar pusat pengundian.

Turut kelihatan, kenderaan membawa pengundi ke pusat pengundian yang disediakan parti mengambil dan menurunkan pengundi di sini.

Pihak Jabatan Penerangan Negeri juga tidak ketinggalan mempromosi dan menyeru para pengundi keluar menjalankan tanggungjawab mereka, hari ini.

Kira-kira jam 11 pagi, cuaca yang redup mulai cerah dan trafik makin sibuk di pusat pengundian. Sebahagian pusat mengundi di Sungai Udang, terdapat pengundi yang terpaksa beratur sehingga ke jalan raya.

Pada PRN Melaka kali ini, menyaksikan seramai 112 calon bertanding membabitkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Bebas.

Daripada jumlah itu, lapan calon daripada PAS yang bertanding menggunakan lambang Perikatan Nasional ialah Aziah Mohd Sa’ad (DUN Kuala Linggi), Bakri Jamaluddin (Kelebang), Muhammad Al Afiz Yahya (Bukit Katil), Abu Hashim Abdul Samad (Taboh Naning), Datuk Kamarudin Sidek (Duyong), Ja’afar Othman (Durian Tunggal), Ahmad Bilal Rahaudin (Serkam) dan Abd Alim Shapie (Merlimau).

Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas setelah empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri. – HARAKAHDAILY 20/11/2021

- Advertisement -