Kemenangan Asif Suhaimi angkat martabat OKU

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Kejayaan anak kelahiran Kelantan, Asif Suhaimi memenangi kategori Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-34 semalam bukan sekadar mengharumkan nama negeri Cik Siti Wan Kembang itu, sebaliknya ia juga mengangkat martabat golongan orang kelainan upaya (OKU).

Sehubungan itu, pihak Kementerian Pembangunan  Wanita, Keluarga dan Masyarakat tampil merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan Asif yang merupakan seorang anak istimewa autisme. 

- Advertisement -

Timbalan Menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof berkata, siapa sangka salah satu anugerah bintang popular tanah air pada ABPBH berjaya dirangkul oleh seorang anak istimewa autisme.

“Tahniah adik Asif dan terima kasih Syahmi Syazli (sepupu Asif) kerana mengetengahkan bakat OKU di pentas seni,” katanya pada kenyataan hari ini. 

Asif mencipta kejutan apabila menewaskan calon senior lain dalam kategori tersebut termasuk Jep Sepahtu, Shuib Sepahtu, Atu Zero dan Ain Edruce.

Beliau mulai mencuri hati peminat seni tanah air apabila muncul dalam drama spontan di YouTube disusuli filem bajet rendah, Mael Totey The Movie arahan Syahmi Sazli.

Filem tersebut mencetuskan fenomena pada era pandemik Covid-19 apabila Asif berjaya mencuit hati penonton dengan gelagat bersahaja dan dialek Kelantan.

“Kemenangan Asif dianggap sebagai batu loncatan mencungkil bakat golongan OKU sehingga mendapat tempat di pentas komersial,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/11/2021

- Advertisement -