Tan Sri, Tok Guru dan Ayoh Chik

- Advertisement -

PELIK, kerana sosok yang dituduh sebagai pembawa ajaran sesat, jahat, pemesong agama, penunggang agama, politikus putar belit kerana mahukan kuasa, tiba-tiba dianugerahkan pingat PSM oleh YDPA. Bukan, bukan Persatuan Sekolah Memandu, tetapi Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri. Gelaran Tan Sri, hanya boleh dianugerahkan oleh YDPA sahaja. Sultan negeri-negeri, tidak boleh. Paling tinggi, hanya Dato’ bergelar.

Mustahil, bagi akal pembenci beliau yang sangat marahkan beliau kerana ilmu agamanya yang diakui dunia. Tetapi pembencinya tetap tidak mahu mengakui kehebatannya kerana jika mengakui, bermakna jatuhlah maruah mereka. Walaupun pembencinya, membaca jawi pun terbalik, membaca al-Quran dalil utama dalam Islam tergagap-gagap, apatah lagi membaca tulisan Arab tanpa baris. Namun dengki mereka tetap teguh. Ada yang mati bersama kedengkian itu. Entah apa nasib mereka di dalam kubur jika fitnah mereka, Allah tidak ampunkan.

- Advertisement -

Tidak masuk akal, kenapa sosok ini dianugerahkan pingat penghargaan ini oleh YDPA? Adakah YDPA tidak tahu yang beliau telah membawa perpecahan dalam masyarakat di Malaysia? Kenapa orang sebegini diberikan anugerah. Semua musuhnya akan mencari lagi apa sahaja bagi menambahkan lagi cerita jahat yang direka terhadap beliau. Biar masyarakat menolaknya. Itu fikir akal mereka.

Benci, musuhnya tidak berjaya mencari jalan tambahan bagi menjatuhkan maruah beliau. Sebaliknya, beliau dipercayai semua orang, termasuklah musuhnya dalam politik akan kejujurannya. Musuh juga gagal membuktikan ajaran beliau adalah sesat. Musuhnya gagal menghalang anugerah tinggi ini dari YDPA, kerana YDPA mengetahui akan akhlaknya. Musuh penat mencipta fitnah, tetapi beliau semakin diyakini. Musuhnya kelihatannya begitu bodoh sekali, penat dan berputus asa kerana semakin sedikit orang mempercayai fitnah mereka.

Kekal merendah diri, dengan pangkat dunia yang diberikan manusia. Percayalah, sekiranya kamu bertemu dengan beliau dan memanggilnya dengan panggilan ‘Ayah Chik’ tanpa gelaran Tan Sri, nescaya, dia akan berpaling dan tersenyum ke arahmu kerana gelaran itu sudah sebati dengannya. Yakinlah, jika kamu tetap menggelarkan beliau ‘Tok Guru’ tanpa Tan Sri, beliau tetap akan menjawab soalan agama kamu tanpa membezakan kedudukan beliau dahulu dan sekarang.

Gelaran Tan Sri daripada YDPA adalah gelaran terhormat daripada yang terhormat. Ia menjadi kebiasaan kepada semua untuk merasa gembira dengan penghormatan itu. Namun aku percaya gelaran daripada marhaen adalah gelaran yang sebati dengan jiwa beliau, tanpa aku merendahkan gelaran Tan Sri itu. Gelaran dari marhaen adalah datang dari hati, ia tiada pingat, tetapi ia lahir kerana kasih sayang dan juga kehormatan kepada seorang murabbi.

Tahniah Tan Sri Ayah Chik, semoga selain gelaran penghormatan di dunia, Ayah Chik juga akan menerima gelaran kemuliaan dari Allah di akhirat nanti di atas pengorbanan Ayah Chik kepada agama. Semoga Ayah Chik dirahmati.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 14/11/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -