Cikgu doakan kemenangan Ja’afar

Foto Ihsan Facebook Jaafar Othman
- Advertisement -

Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD

- Advertisement -

MELAKA: “Mudah-mudahan. Insya-Allah, cikgu doakan yang terbaik buat kamu. Insya-Allah,” demikian doa seorang guru kepada bekas anak muridnya yang merupakan calon Perikatan Nasional daripada PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Ja’afar Othman.

Beliau yang hanya mahu dikenali Cikgu Zah menitipkan pesanan dan nasihat kepada Ja’afar tentang tanggungjawab yang akan digalas setelah bergelar seorang pemimpin masyarakat jika memenangi kerusi Durian Tunggal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Kalau kita berjaya jadi seorang pemimpin, (maknanya) semuanya atas undian rakyat kiranya dia dipilih jadi wakil rakyat, dia kena jalankan tanggungjawabnya.

“Tapi jangan masa sebelum ini (berkempen) pergi rumah ke rumah semata-mata nak tarik undi bagi itu bagi ini, yang itu tidak betullah.

“Dah (menang) dapat esok nanti semua tak ingat semua dah lupa. Kebanyakan macam itu. Sebelumnya, macam macam berjanji bila dah menang lupa,” luah Cikgu Zah, 60, yang kini sudah bersara sebagai guru.

Ja’afar yang tidak pernah melupakan didikan dari gurunya itu mengangguk faham dan mengucapkan terima kasih atas doa dan nasihat yang diberikan.

Ja’afar kemudian menemui guru politik yang disegani dan amat dihormati ahli-ahli PAS, Minghat Mahmud, 76, di Kampung Ulu Seraja, Durian Tunggal.

Minghat berpengalaman lima kali bertanding dalam pilihan raya sebagai calon PAS sejak tahun 1990 berpesan kepada Ja’afar untuk tidak gentar berdepan pesaingnya dalam PRN Melaka.

“Kalau takut jangan berjuang,” kata Minghat yang merupakan bekas guru, dekat sini ketika ditemui Harakahdaily, hari ini.

Beliau menceritakan kemenangan tentera Islam yang sedikit bilangannya menentang tentera kafir.

Namun, Allah muliakan perjuangan mereka yang sabar berjuang menegakkan agama Islam dengan memberi kemenangan besar kepada tentera Islam seperti dalam perang Badar.

Ja’afar menyahut seruan itu dengan menyatakan hasratnya untuk menjadikan masjid-masjid di DUN ia bertanding sebagai ‘masjid one stop centre’.

“Saya sebenarnya lebih nak suburkan institusi keagamaan. Masjid sebagai ‘one stop centre’. Masjid kita di sini tidak berlaku begitu hanya menjadi tempat memandikan jenazah dan sembahyang semata-mata.

“Mengaji tidak ada, kelas pengajian agama kurang, kedai-kedai runcit pun tidak ada. Kalau ada kedai runcit pendapatan membantu ekonomi penduduk dan ia juga menjadi penarik kepada semua golongan untuk mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti dan kemudahan yang disediakan,” ujar Ja’afar.

Kerusi DUN Durian Tunggal yang mempunyai jumlah pengundi 13,312 menyaksikan persaingan empat penjuru antara Perikatan Nasional, Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada 20 November manakala undi awal pada 16 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas setelah empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri. – HARAKAHDAILY 13/11/2021

- Advertisement -