Sempadan negara untuk pelancong dibuka awal tahun depan

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR:
Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju supaya pembukaan semula sempadan negara untuk pelancong asing dilakukan selewat-lewatnya pada 1 Januari tahun depan bagi menggiatkan lagi sektor pelancongan negara.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata MPN akan terus menyokong usaha kerajaan bagi mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang telah diunjurkan iaitu antara 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun hadapan.

Katanya, ini dengan memastikan proses pemulihan dilaksana dengan pantas dan mengikut keutamaan.

- Advertisement -

Mesyuarat itu juga, katanya, meneliti laporan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berhubung langkah pemulihan industri pelancongan yang merupakan antara sektor yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Pembukaan semula sektor pelancongan domestik yang bermula dengan gelembung hijau Pulau Langkawi pada 16 September 2021 memberi kesan positif kepada industri pelancongan negara.

“Insya-Allah, satu projek rintis gelembung hijau di Pulau Langkawi bagi pelancong asing dari luar negara akan bermula pada 15 November ini,” katanya pada satu kenyataan media, semalam.

Tambahnya, mesyuarat juga telah mendengar taklimat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berhubung status terkini Covid-19 di negara.

“Alhamdullilah, dengan kadar vaksinasi dan kepatuhan SOP yang tinggi, trend jangkitan Covid-19 terus menunjukkan penurunan,” katanya.

Pada masa yang sama, kata beliau, peralihan fasa pemulihan negara berjalan baik dengan lima buah negeri beralih ke Fasa Empat pada 8 November lepas di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Walaupun pemulihan negara berada pada landasan yang betul, kita tidak boleh leka dan alpa dengan kejayaan-kejayaan terutamanya dalam pengawalan jangkitan wabak Covid-19.

“Saya menyeru agar seluruh rakyat Malaysia agar dapat terus memberikan kerjasama dalam memastikan kejayaan usaha pemulihan negara. Semoga usaha kita terus diberkati, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/11/2021

- Advertisement -