Kementerian Pendidikan bantu tingkat kesihatan mental

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Warga sekolah kini boleh mendapatkan bantuan sokongan psikologi yang disediakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menangani gangguan kesihatan mental akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Dato’ Dr Mah Hang Soon, berkata perkhidmatan tersebut akan dikendalikan kaunselor pendidikan guru bimbingan dan kaunseling profesional di bahagian KPM, jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan semua institusi pendidikan KPM.

- Advertisement -

Katanya, sesi kaunseling dijalankan secara bersemuka dan dalam talian yang meliputi kaunseling individu, kaunseling kelompok dan sesi konsultasi.

“Bagi meningkatkan kesihatan mental warga guru dan bukan guru, Program 3A (Sedar, Peka, Tindak) dijalankan untuk memberi latihan mengurus emosi akibat pandemik secara dalam talian, webinar dan e-book,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, yang meminta kerajaan menyatakan langkah strategik jangka panjang bagi menghadapi peningkatan kes gangguan kesihatan mental dalam menghadapi fasa pemulihan pasca pandemik.

Manakala bagi murid, Hang Soon berkata, Program Minda Sihat Dalam Kebiasaan Baharu Tahun 2021 dijalankan untuk meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan penjagaan kesejahteraan diri, mengenal pasti gejala awal yang memberi kesan kepada minda akibat pandemik yang berlaku dan meningkatkan kemahiran gaya daya tindak.

Katanya, KPM turut menyediakan intervensi selanjutnya bagi kes-kes serius membabitkan warga KPM dengan mencadangkan mereka mendapatkan rawatan perubatan di klinik kesihatan atau hospital.

Bagi murid pula, katanya guru bimbingan dan kaunseling akan memberikan konsultasi kepada ibu bapa atau penjaga supaya membawa anak mereka mendapatkan rawatan daripda pegawai perubatan di klinik kesihatan ataupun hospital. – HARAKAHDAILY 9/11/21

- Advertisement -