WhatsApp dibenarkan saman firma Israel, NSO Group

- Advertisement -

SAN FRANCISCO: Mahkamah rayuan Amerika Syarikat telah memutuskan bahawa perkhidmatan media sosial, WhatsApp boleh meneruskan tuntutan mahkamah terhadap firma milik Israel, NSO Group, dengan menegaskan bahawa kekebalan daripada litigasi sivil di mahkamah AS yang dinikmati oleh kerajaan asing tidak meliputi syarikat-syarikat pengawasan swasta Israel.

WhatsApp menyaman NSO Group atas dakwaan memanipulasi perkhidmatannya di California untuk mendapatkan akses tanpa kebenaran atau menggodam terhadap kira-kira 1,400 peranti mudah alih, yang jelas sekali telah melanggar undang-undang negeri dan persekutuan AS.

- Advertisement -

Firma Israel itu telah mencetuskan kemarahan kumpulan-kumpulan hak asasi manusia selepas siasatan oleh media antarabangsa baru-baru ini mendedahkan perisian pengintipnya, Pegasus  telah digunakan oleh pasukan keselamatan dan kerajaan di beberapa negara.

Pada hari Isnin, panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan Litar Kesembilan yang berpangkalan di San Francisco mengesahkan keputusan mahkamah rendah untuk membenarkan saman WhatsApp diteruskan, dengan menegaskan bahawa NSO Group tidak layak mendapat imuniti berdaulat walaupun pelanggannya adalah agensi kerajaan asing.

“NSO Group mendakwa bahawa ia harus menikmati imuniti yang diberikan kepada kerajaan yang  menyediakan teknologi digunakan untuk tujuan penguatkuasaan undang-undang,  dan penguatkuasaan undang-undang adalah fungsi yang berdaulat,” tulis Hakim Danielle Forrest, yang dilantik oleh bekas Presiden Donald Trump, dalam keputusan mahkamah berkenaan.

“Apa sahaja yang dilakukan oleh pelanggan kerajaan NSO Group (Israel) dengan teknologi dan perkhidmatannya tidak menjadikan NSO Group sebagai ‘agensi atau instrumen negara asing,’ sebagaimana yang telah ditakrifkan oleh Kongres. Oleh itu, NSO Group tidak berhak mendapat perlindungan imuniti berdaulat asing di AS.”

Pemilik WhatsApp, Facebook Inc. yang baru-baru ini menukar namanya kepada Meta pertama kali menyaman NSO Group pada tahun 2019.

Dalam aduan undang-undang asalnya, WhatsApp menuduh firma Israel itu melanggar syarat perkhidmatannya dan menjejaskan ‘reputasi, kepercayaan awam dan muhibah’ platform aplikasi pemesejan itu dengan aktiviti penggodaman.

Keputusan mahkamah San Francisco itu dibuat ketika penelitian yang diperbaharui dibuat terhadap aktiviti NSO Group dan kurang seminggu selepas pentadbiran Biden membenarkan firma itu beroperasi semula selepas menuduhnya membenarkan ‘penindasan transnasional’ dengan perisian pengintipnya itu.

NSO Group bagaimanapun telah menolak kritikan itu, dengan menekankan bahawa produknya digunakan untuk menyasarkan golongan penjenayah dan ‘pengganas’.

Terdahulu pada hari Isnin, Frontline Defenders mendedahkan bahawa perisian pengintip Pegasus milik NSO Goup telah dikesan pada telefon enam aktivis hak asasi manusia warga Palestin, tiga daripadanya bergabung dengan kumpulan masyarakat sivil yang baru-baru ini disenaraihitamkan oleh Israel sebagai ‘organisasi pengganas’.

Amnesty International dan Citizen Lab, Universiti Toronto mengesahkan perkara itu dalam laporan teknikal yang dihasilkan secara berkolaborasi.

Dalam pada itu jurucakap WhatsApp menurut laporan Al Jazeera, mengalu-alukan keputusan mahkamah AS, menyifatkan ia  sebagai ‘satu langkah penting dalam memastikan NSO bertanggungjawab atas serangannya terhadap wartawan, pejuang hak asasi manusia dan pemimpin kerajaan’.

Sementara bagi pihaknya, NSO Group memberitahu agensi berita Reuters bahawa ia ‘tidak terpengaruh dalam misinya’, mengulangi pendiriannya bahawa produknya itumembantu keselamatan awam. – HARAKAHDAILY 9/11/2021

- Advertisement -