Syarat pinjaman boleh ubah JPA dan MARA membebankan

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengubah syarat pengecualian pinjaman boleh ubah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi menghargai graduan yang cemerlang dalam pengajian.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, berkata isu pinjaman boleh ubah sangat dekat dengan hati mahasiswa, sama ada di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

- Advertisement -

Bagaimanapun, katanya pinjaman boleh ubah JPA mahu pun MARA, jelas sekali tidak banyak membantu graduan kerana syarat yang dikenakan bagi mendapatkan pengecualian bayaran balik semakin membebankan.

“Jika sebelum ini, pengecualian pembayaran adalah berdasarkan keputusan keseluruhan. Ini bermakna graduan mendapat keputusan kepujian kelas pertama, maka mereka dikecualikan membayar balik,” katanya ketika perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Shaharizukirnain berkata, syarat pengecualian bayaran balik kini ialah hanya graduan yang mendapat pekerjaan di sektor awam sedangkan umum mengetahui bahawa keadaan negara yang sangat genting dengan kebanyakan graduan menganggur.

Sehubungan itu, beliau memohon kerajaan mempertimbangkan pinjaman boleh ubah sekarang diubah kepada biasiswa sepenuhnya supaya graduan yang layak dan berjaya dalam pengajian tidak perlu membuat bayaran balik.

“Langkah ini bagi mengoptimumkan potensi pengajian graduan ke peringkat lebih tinggi, sekali gus menghargai kejayaan mereka,” katanya.

Sementara itu, katanya ketika jualan sehari 11/11/2020, dua gergasi e-Dagang di China, Alibaba dan JD.com, berjaya meraih jualan sebanyak RM474.1 bilion, sekali gus membuktikan ekonomi digital mampu menyumbang hasil yang lumayan dalam masa singkat.

Katanya, pendigitalan ekonomi sangat penting kepada ekonomi negara kerana bukan sahaja mampu menyumbang kepada hasil negara, malah mampu mewujudkan peluang pekerjaan..

“Pendigitalan ekonomi juga amat diperlukan dalam sektor pekerjaan 3D (kotor, bahaya sukar) . Apa yang berlaku hari ini, kerajaan melaburkan suatu jumlah yang sangat besar di sektor pembinaan untuk meningkatkan peluang pekerjaan, namun golongan muda tidak berminat untuk bekerja di sektor itu,” katanya.

Beliau menyarankan kerajaan memperhebatkan penglibatan golongan muda dalam e-Dagang kerana menepati hasrat golongan berkenaan yang lebih mesra teknologi. – HARAKAHDAILY 8/11/21

- Advertisement -