Perkataan PERIKATAN NASIONAL supaya pengundi tidak keliru

- Advertisement -

MELAKA: Perikatan Nasional menggunakan perkataan PERIKATAN NASIONAL ditekapkan atas kain berwarna prussian blue sebagai lambang untuk bendera parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka supaya pengundi tidak keliru.

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penggunaan perkataan dengan ejaan penuh akan lebih jelas kepada pengundi.

Beliau berharap tidak timbul isu kekeliruan selepas ada ura-ura mengatakan keliru antara logo resam bendera parti Barisan Nasional yang ditekap atas kain berwarna biru dengan Perikatan Nasional.

- Advertisement -

Ujarnya, perkara yang akan menimbulkan kekeliruan kepada pengundi adalah singkatan ‘PN’ dan ‘BN’ merujuk kepada Perikatan Nasional dan Barisan Nasional yang sudah menjadi kebiasaan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan calon agar menyebut penuh Perikatan Nasional sepanjang tempoh berkempen nanti.

“Bila di pusat pengundian nanti, pengundi akan dapat membezakan antara logo Perikatan Nasional yang dieja penuh dengan logo Barisan Nasional yang menggunakan lambang dacing,” ujarnya yang ditemui Harakahdaily pagi tadi.

Mengulas lanjut taklimat yang disampaikan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada calon-calon Perikatan Nasional yang dipertemukan dalam satu perjumpaan khas di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Telok Mas secara tertutup, beliau berkata ia mengenai unjuran potensi yang baik untuk Perikatan Nasional pada PRN Negeri Melaka.

“Potensi itu bukan sahaja di sini (Dewan Undangan Negeri Telok Mas) tetapi juga di keseluruhan negeri Melaka,” jelas Ahmad Samsuri.

Pagi tadi berlangsung proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal menyaksikan pertandingan merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Semua 28 kerusi yang dipertandingkan Perikatan Nasional bukan sahaja bertembung dengan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional malah dengan calon Bebas dan parti lain seperti Putra.

PRN Melaka menyaksikan 112 calon dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN iaitu Asahan, Duyong dan Gadek. – HARAKAHDAILY 8/11/2021

- Advertisement -