Kerajaan perkenalkan insentif wujudkan peluang kerja

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Keadaan ekonomi negara yang masih dalam tahap pemulihan dan landskap pekerjaan yang terjejas mendorong kerajaan memperkenalkan beberapa insentif untuk merangsang pengambilan pekerja oleh majikan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata antara insentif berkenaan yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ialah Program Insentif Pengambilan Pekerja, Bantuan Mobiliti dan Program Latihan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

- Advertisement -

Katanya, kerajaan melalui Majlis Pekerjaan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri bertindak melaksanakan dasar dan program bagi mewujudkan sumber pendapatan baharu, selain mengekalkan pekerjaan sedia ada di seluruh negara.

“Bagi memperkasa tenaga kerja Malaysia agar lebih berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan tersohor di peringkat antarabangsa, kerajaan akan melaksanakan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional melalui enam teras utama,” katanya menjawab soalan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) di Dewan Rakyat, hari ini.

Awang berkata, teras utama berkenaan ialah meningkatkan kerjasama antara industri dan akademik, memupuk bakat bagi memenuhi keperluan industri, memperkasa usahawan tempatan untuk maju dalam ekonomi semasa dan memanfaatkan ekonomi gig untuk pencarian peluang penjanaan pendapatan.

Selain itu, katanya teras utama berkenaan ialah memacu pertumbuhan sektor baharu dan moden serta mempercepat penerapan amalan tempat kerja moden.

Katanya, teras berkenaan akan menjadi panduan bagi pelaksanaan pemacu perubahan, termasuk mengaplikasikan teknologi kepintaran buatan untuk tujuan pemadanan dan perancangan kerjaya di samping meningkatkan kebolehpasaran dan kualiti graduan lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). – HARAKAHDAILY 8/11/21

- Advertisement -