25 isu punitif dikesan dalam Laporan Ketua Audit Negara

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Sebanyak 25 (4.5 peratus) daripada 550 teguran yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri 2, dikategorikan sebagai berpotensi isu punitif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata baki sebanyak 525 teguran dikategorikan sebagai isu korektif dan akan disusul melalui Auditor General’s Dashboard (AG’s Dashboard).

- Advertisement -

Katanya, 25 kes potensi isu punitif (perbuatan melibatkan hukuman) telah dibincangkan dalam mesyuarat bersama agensi penguatkuasa dan agensi pusat pada 23 hingga 24 September 2021 dan 20 Oktober 2021.

Berdasarkan mesyuarat itu, sebanyak tujuh isu telah diputuskan untuk siasatan oleh agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Mesyuarat itu juga memutuskan untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak auditi melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Laporan Ketua Audit Negara (JTLKAN) Bil. 3 Tahun 2021 yang akan diadakan pada 9 hingga 11 November ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) yang meminta kerajaan menyatakan usaha drastik kerajaan untuk mengurangkan ketirisan dan pembaziran kewangan negara melalui projek yang tertangguh seperti dalam LKAN 2019 Siri 2.

Dr Wan Junaidi berkata, JTLKAN dipengerusikan oleh Ketua Audit Negara dan dianggotai oleh Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi dan Pegawai Tugas-Tugas Khas (Integriti dan Keselamatan) Pejabat Ketua Setiausaha Negara.

Sementara itu, katanya Ketua Audit Negara diberi mandat untuk menyemak perbelanjaan negara melalui pengauditan yang dijalankan dengan pengauditan program, aktiviti, kementerian dan jabatan kerajaan dilaksanakan bagi menentukan dilaksanakan dengan cekap, berhemat dan berkesan bagi mencapai objektif yang ditetapkan.

Katanya, pengauditan pematuhan dilaksanakan bagi mengenal pasti elemen pembaziran, pemborosan, penyelewengan dan ketirisan wang awam akibat dari ketidakpatuhan kepada undang-undang dan peraturan kewangan.

“Laporan Ketua Audit Negara yang telah dibentangkan di Parlimen akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). PAC akan memangggil pihak yang terlibat dan kemudian akan mengemukakan pandangan dan cadangan bagi membantu memperkemaskan pengurusan kewangan auditi agar ianya dilaksanakan secara telus dan berhemat,” katanya.

Beliau berharap dengan tindakan punitif dan korektif serta tindakan oleh kementerian dan jabatan akan dapat mengurangkan ketirisan dan pembaziran wang awam. – HARAKAHDAILY 3/11/21

- Advertisement -