SPR laksana pemutihan daftar pemilih

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

KUALA LUMPUR: Berdasar tempoh masa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), pelaksanaan Undi18 akan dilaksanakan pada tahun 2023 selepas segala teknikal berkaitannya selesai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata banyak proses yang perlu dilakukan sebelum Undi18 dapat dilaksanakan.

- Advertisement -

Katanya, pelbagai perkara perlu dilakukan termasuk membersihkan senarai nama daftar pemilih daripada mereka yang sudah meninggal dunia.

“Proses pemutihan perlu dilakukan, jadi berdasar tempoh masa yang dibuat SPR, Undi18 akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2023,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 16 Julai 2019, Parlimen meluluskan Rang Undang-undang (Pindaan) 2019 selepas mendapat sokongan majoriti dua pertiga ahli dewan.

Rang Udang-undang (RUU) itu disokong 211 ahli iaitu melebihi jumlah yang diperlukan iaitu 148 orang.

RUU itu meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan, untuk menurunkan umur warga negara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.

Ia juga bertujuan meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan, untuk menurunkan umur seseorang warga negara yang layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Bagaimanapun, pada September lalu, Mahkamah Tinggi Kuching, memutuskan kerajaan Persekutuan mesti membenarkan golongan belia mengundi sebelum 31 Disember ini.

Sebelum itu, lima anak muda memfailkan saman terhadap kerajaan Persekutuan setelah SPR memberitahu pengundi 18 tahun hanya dapat dilaksanakan pada September 2022, berbanding tarikh dirancang pada Julai lalu.

Dr Wan Junaidi berkata, proses yang dilakukan itu mengambil masa yang tidak sedikit. – HARAKAHDAILY 3/11/21

- Advertisement -