PRN Melaka: Keputusan Umno beri kesan positif

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

SEREMBAN: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) melahirkan rasa terima kasih terhadap keputusan Majlis Kerja Tertinggi (AMT) Umno untuk meneruskan persefahaman bersama PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketuanya, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata dengan keputusan itu, ia memberi gambaran positif terhadap kedua-dua belah pihak.

- Advertisement -

“Kita harapkan di mana sahaja tempat pilihan raya ini, masyarakat kita tidak bertembung tiga penjuru, kerana ia merugikan dalam banyak perkara.

“Selain itu, ia juga dikhuatiri menggugat keharmonian antara parti dan juga menimbulkan masalah,” katanya ketika ditemui Harakahdaily pada Muktamar Tahunan DUPP kali ke-60, di Kompleks Tahfiz Darul Ulum, Senawang, hari ini.

Menurut Nik Muhammad Zawawi, jika berlaku pertembungan tiga penjuru di PRN Melaka, beliau bimbang hal sama akan berlaku di pilihan raya negeri lain, termasuk ketika Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Justeru itu katanya, kerjasama Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu dieratkan bermula sekarang supaya ahli dan jentera parti dapat bersedia dengan segala kemungkinan baharu.

“Oleh itu, kita mesti eratkan hubungan muafakat ini daripada sekarang supaya bila datang PRU, kita sudah bersedia dan jentera kita juga sepakat antara satu sama lain.

“Kita minta keterbukaan semua pihak dalam isu muafakat, perlu berlapang dada, tidak boleh berdendam dan harapan saya supaya kerjasama ini di bawa sehingga ke PRU15,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh. – HARAKAHDAILY 30/10/2021

- Advertisement -