Muktamar sayap utama PAS suasana norma baharu

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

KOTA BHARU: Ketika banyak parti menangguh mesyuarat agung tahunan kerana pandemik Covid-19, sebaliknya PAS tetap meneruskan agenda dengan melangsungkan muktamar dalam suasana norma baharu.

Hari ini, berlangsung muktamar tiga sayap utama PAS di lokasi berbeza yang menghimpunkan perwakilan secara terhad di Port Dickson dan Taman Rasah, Seremban.

- Advertisement -

Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia diadakan di Corus Paradise Resort Port Dickson, manakala Dewan Ulamak PAS Pusat mengadakan muktamar tahunan di Tahfiz Darul Ulum Taman Rasah Jaya, Seremban.

Manakala Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia diadakan sepenuhnya secara hibrid, yang menghubungkan sepenuhnya perwakilan secara dalam talian.

Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia bermula jam 7.30 pagi tadi dengan pendaftaran perwakilan, kemudian diikuti taklimat perjalanan muktamar. Selain itu, diadakan pembentangan Penyata Laporan Kewangan yang berakhir hujung tahun lepas.

Perasmian pula akan dilakukan Timbalan Presiden, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, kira-kira jam 11.15 pagi. Sesi pagi akan berakhir dengan Anugerah Jasamu Dikenang.

Pada sebelah petang, bermula jam 3 petang diadakan pencalonan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, kemudian diikuti perbahasan ucaptama Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Sr Ir Khairil Nizam Khirudin.

Muktamar juga akan disambung pada sebelah malam dengan agenda sambungan perbahasan ucaptama, kemudian diikuti perbahasan usul-usul.

Pada hari kedua, (esok) akan disambung perbahasan ucaptama dan pengumuman pemilihan pimpinan baru sesi 2021-2023, sebelum ucapan penangguhan. – HARAKAHDAILY 30/10/21

- Advertisement -