Oleh UMMU AL- FATEH
KEPALA BATAS : Umat Islam dituntut mempelajari ajaran Islam yang menyeluruh dan sempurna bukan sekadar mempelajari separuh daripadanya dan meninggalkan separuh yang lain.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian ketika merasmikan program Daurah AKIFI anjuran Akademi Latihan Dan Kepimpinan Ulamak (ALKU) DUPP di Kuala Lumpur, pada Khamis.
“Pelaksanaan syariat menuntut umat Islam memahami makna yang menyeluruh terhadap semua bahagian ajaran Islam yang berkait antara satu sama lain laksana rantai yang tidak putus.
“Ungkapan tafaqquh fiddin telah ditafsirkan pada zaman awal Islam dengan ajaran Islam yang menyeluruh sempurna merangkumi segala aspek seperti yang dihuraikan dalam hadis malaikat Jibril tentang Iman, Islam dan Ihsan,’’ jelasnya.
Sementara itu katanya, umat Islam yang keluar mempelajari agama perlu faham tuntutan ke atas mereka iaitu memberi peringatan kepada kaum masing-masing apabila pulang, agar kaum mereka sentiasa berwaspada menghadapi bahaya kehidupan dunia dan akhirat.
Tambahnya, ini menunjukkan bahawa peranan ulama bukan sekadar menyampaikan ilmu kepada kaum mereka, bahkan mereka bertanggungjawab berusaha menyelamatkan umat sebagaimana peranan nabi dan rasul.
Oleh itu katanya, ulama hendaklah mengetahui cara untuk beramal dengan ilmu, seterusnya menguasai kaedah menyampaikan ilmu secara berhikmah kepada masyarakat agar mereka dapat melaksanakan tuntutan Islam dalam kehidupan.
“Para ulama hendaklah memainkan peranan sebagai pewaris nabi-nabi yang menguruskan pusaka yang ditinggalkan berbentuk keilmuan. Tanpa disampaikan cahaya ilmu, manusia akan menjadi sesat kehidupan dunia dan menempuh kehidupan yang celaka dalam neraka.
“Kelebihan orang yang berilmu berbanding orang yang beribadat sahaja, adalah laksana kelebihan bulan di kalangan sekalian bintang-bintang cakerawala kerana ilmu adalah cahaya yang menerangi kehidupan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 30/10/2021